February 22, 2010

Sampai syurga...



Ramai yang bertanya, kenapa aku pegi baitul muslim course?


Jujurnya, aku sendiri kurang pasti. Alhamdulillah, 2 hari berlalu dengan lancar. Banyak ilmu rumahtangga yang diperoleh. Jangan salah sangka, aku tidaklah merancang untuk menjadi 'puan' dalam masa terdekat. Biarlah yang lebih layak mendahului. Bak kata Ustaz Hasrizal, jangan tergesa-gesa, jangan bertangguh-tangguh.


Silaplah andai kita membuat keputusan untuk melangkah ke alam perkahwinan atas dasar ikut-kutan. Ngeri rasanya apabila melihat statistik perceraian yang amat tinggi di Malaysia. Bercinta separuh mati, tapi kahwin tak sampai setahun. Ada yang bercerai hanya selepas beberapa jam bernikah! Renung-renungkanlah.


Pada yang benar2 telah bersedia, melangkahlah dengan yakin. InsyaAllah, semoga jalan kalian dipermudahkan. Pikullah amanah itu sebaiknya, dan bersama-samalah menggapai mardhatillah. Berdua lebih baik ^_^


Sedikit kecewa, kebelakangan ini banyak sekali kes dimana si suami membunuh isteri sendiri. Walhal suamilah yang perlu melindungi isterinya. Manusia, sudah semakin hilang kemanusiaan dan kasih sayang. Besar amat fitnah akhir zaman ini.


Oh ya, mabruk untuk sahabat2 yang bakal mendirikan mahligai bahagia. Moga berkekalan hingga ke syurga...


~Aku tidak mahu berpaling
Pada yang mengganggu dan menggugat
Sapanya meletihkan diri

Hadirnya mengundang penat
~

February 20, 2010

Monolog anak rantau

Susah sebenarnya hendak menyusun ayat yang indah. Apalagi dalam keadaan begini. Aku merasakan jalur fikirku seperti benang yang berpintal-pintal. Mana pangkalnya, mana hujungnya, sudah tidak mampu ditemukan.


Begitu pun, kupanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepadaNya di atas belasNya ke atasku dan keluarga. Terlalu banyak hal yang terjadi, sehingga kadangkala aku sendiri tidak percaya. Dan setiap satu yang berlalu perlahan-lahan mendewasakan diri ini, ianya madrasah terbaik untukku menjadi seorang insan yang tegar. Bukan sebagai insan manja yang lemah, bergantung semata pada yang fana.


Cuma...
Ada masanya aku tewas dengan perasaan. Ditambah pula dengan rutin kehidupan yang melemaskan, ketabahan diri perlahan sirna. Sakit. Pedih. Tapi, jikalau anak rantau berhati lemah, bagaimana pula dengan perjuangan yang dipikul? Anak rantau tidak boleh hanyut dengan kesedihan. Dia hanya perlukan sedikit ruang. Supaya dia bisa mengukir senyum dalam keadaan apapun. Dia punya harapan, dan dengan harapan itu dia perlu terus melangkah, biarpun perlahan.


Bila segalanya tidak tertahan, mutiara jernih itu jatuh jua. Mengalir tanpa mahu berhenti. Jalanan permusafiran ini sesungguhnya terlalu sukar ditempuhi berseorangan.





Anak rantau mula mengerti tentang nilai kehidupan dan manusia. Dan keyakinannya pada Pencipta yang Agung semakin subur, sandaran hidup dan matinya. Bersama berita sedih, Allah berikan khabar gembira. Syukur, syukur ya Rabbi.


Tuhanku, kurniakanlah nikmat iman dan kesihatan pada insan2 yang amat kusayangi. Lapangkanlah dada mereka, serta teguhkanlah jiwa mereka dalam menempuhi ujianMu.
Aku mohon~


p/s: Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara

February 13, 2010

Catering Day



Datanglah beramai-ramai ^_^


Sebarang pertanyaan atau tempahan?


Boleh rujuk harga menu di bawah dan bolehla budget nak beli menu yang mana. Semuanya hand-made, full of love~~


Alah membeli, sedap memakan!


February 7, 2010

Biarkan


Rindu.


Diamku penuh makna. Diamku memendam rasa. Diamku seribu rahsia.


Rindu.


Mahu memberi maaf. Cuba memberi maaf.


Marah, jauh hati, haruskah dilayani? Walau kadang2 ingin dipamerkan segala. Biar hati ini lebih dihormati. Kerana hati ini bukanlah besi, bukannya boneka, yang bisa diperlakukan semahunya. Diturutkan hati, binasakah segalanya?


Muncul seraut wajah lembut ibu. Wajah yang mendamaikan. Wajah yang menitip segunung ketabahan. Pesannya bergema.


"Sabarlah. Sabarlah. Besarkan jiwamu sayang."


Terima kasih ibu...


Aku akan terus memberi maaf. Dan mendiamkan semuanya. Biarlah begitu.

January 28, 2010

Berdoalah

Doa senjata mukmin.


Seringkali kita mendengar ungkapan ini.


Namun sejauh mana kita meyakininya, atau dengan lebih tepat lagi mempraktikkannya?


Tentu sahaja kita sering berdoa, apalagi selepas solat. Kita melaluinya seperti sebuah rutin wajib, hingga adakalanya terlupa untuk memaknai pengertian berdoa. Kita 'amin' kan saja doa sang imam, dengan keadaan penuh leka. Fikiran terawang-awang. Memang sukar untuk khusyuk...


Letih ya. Macam pergi berperang. Berperang dengan nafsu + syaitan. Status doa itu sendiri, hanya Allah yang akan menentukannya.


Tentu ramai yang tahu tentang law of attraction. Bagiku, itu adalah konsep berdoa. Ia merujuk tentang keyakinan kita terhadap Allah. Keyakinan itu akan membina rasa positif dalam diri setiap insan. Tak percaya?


Cuba dulu. Sebenarnya, kita sering melakukannya secara tidak langsung. Contohnya, dalam peperiksaan, kita telah berusaha semampunya membuat persediaan. Dan kita juga yakin bahawa akhirnya Allah sebagai Penentu. Berjaya atau tidak, hanya Dia yang Maha Tahu. Rasa percaya akan bantuan Allah akhirnya menumbuhkan semangat dan nilai optimis yang tinggi untuk menduduki peperiksaan.


Subhanallah.


Teringat satu peristiwa yang membuka mataku tentang kekuatan doa.


...............................................................................................................................


Ini cerita penghujung semester lepas. Masih segar di ingatan, pada masa itu duit saku sudah berada di tahap kecemasan. Aku sangat risau. Aku jarang meminta pada ayah. Bahkan jika aku harus meminta, kakakla yang menjadi pengantara.


Tapi aku segan. Sebolehnya aku mahu berusaha sendiri.


Berfikir dan terus berfikir, namun menemui jalan buntu. Boleh saja hendak buat buat bisnes sendiri, tapi hasilnya memakan masa. Sedangkan dengan apa yang ada, hanya boleh bertahan dalam masa beberapa hari sahaja.


Pagi itu, dalam hening Subuh aku meminta. Meminta pada Dia. Mohon dibukakan jalan keluar dari kebuntuan. Rasa begitu hina dan tiada upaya. Tidak mungkin dapat kulupakan detik2 itu, dimana diri merasa penuh harap, hanya pada yang Satu...


Selesai berdoa, perasaanku lapang. Jiwa ini dikurniakan ketenangan yang tak terungkap. Terlupa seketika tentang masalah.


Tidak lama kemudian, ayah menelefon. Berbual seketika. Dia bertanya adakah aku masih punya wang. Aku mengiakan saja. Malu hendak bercerita hal sebenar. Kemudian, aku berbual pula dengan kakak. Bercerita banyak perkara. Tapi, mungkin juga kakak boleh membaca kegusaran hati dari suara yang kurang ceria. Mungkinlah.


Beberapa jam selepas itu henfon aku berbunyi. Oh, ada mesej masuk.


"Akak dah bank-in duit td. Gunalah untuk belanja. "


Airmataku terus bergenang. Subhanallah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar.


.........................................................................................................................................


Aku bersyukur kerana doa seorang aku, anak rantau yang penuh hina ini Allah sudi makbulkan. Apatah lagi doa orang2 yang dekat di sisiNya. Apatah lagi doa orang2 yang tulus mendamba cintaNya. Apatah lagi doa orang2 yang mengharap redhaNya.


Terima kasih Tuhan, kerana sudi menerima doa insan sepertiku, insan yang banyak berbuat maksiat padaMu...


Sahabat2, mari kita berdoa selalu. Semoga kita semua mendapat keredhaanNya dan dilindungi dari azab api neraka.
Ameen...

January 26, 2010

Selalu menunggu

Duhai rembulan, duhai bintang,


Temanilah aku di sini,


Hadirlah ubati kelukaan hati,


Aku selalu menunggu..



January 19, 2010

Tetamu dan tuan rumah

Mata sudah layu, tapi ada yang mahu dikongsi.


Hari ini aku belajar sesuatu. Dan sungguh ia membuatkan diri ini berfikir. Tadi, seperti biasa aku menjalankan aktiviti wajib, yakni blog walking. Singgah di blog2 kesukaan, lompat2 lagi hinggalah terjumpa sebuah blog yang kukira amat menarik. Kerana apa? Followernya memang sangat2 ramai. Lebih dari angka seribu ok. Famous macam blog Ustaz Hasrizal.


Lebih penting, setiap baris ayatnya boleh meng'influence' si pembaca. Aku sendiri ralit membacanya. Dan, tidak kurang juga ada yang tidak begitu senang dengan tuan rumah. Hentam menghentam dalam ruangan comment. Keluarlah semua bahasa 'indah' yang membuatkan kepalaku berpinar-pinar. Follower tentulah marah jika pemblog kesukaan mereka dihentam. Biasalah tu. Tapi, aku rasa lepas ni aku tak nak dah ke situ.


Entahlah. Tak salah berbeza pendapat, barulah boleh melahirkan perbincangan. Tapi ada adab2 yang harus diikuti. Tetamu haruslah menghormati tuan rumah. Walau betapa tak setuju pun kita terhadap sesuatu pandangan, janganlah membalasnya dengan penuh emosi dan ammarah. Hormatilah pandangan setiap insan. Jika perlu, tegurlah dengan hikmah andai ada yang nyata bersalahan dengan agama. Dan tuan rumah pula, janganlah dimarah dihentam dihalau si tetamu. Akhirnya, ruangan blog menjadi tempat seteru sesama manusia. Berselisih sedikit, terus mencarut serata alam.


Ini sekadar pendapat peribadi insan yang serba kurang. Maaf jika ada yang kurang bersetuju. Masing2 punya nilaian standard.


Terkenang Rasulullah dan betapa penyabarnya baginda. Dengan peribadi seteguh itu, akhirnya kita dapat merasai nikmat Islam...


p/s: Aku juga kadang2 beremosi dalam memberi 'comment'. Maafkan diri ini andai ada baris patah yang menyinggung sanubari kalian. Maaf ya.