February 6, 2011

Seharum mawar berduri


Aku lebih suka pertanyaan "Dah kawin ke?" daripada "Dah ada boyfren?"

Islam telah menggariskan syariat yang begitu indah, cinta yang halal itu hanyalah selepas termeterainya sebuah akad. Jalan menuju pernikahan, bermula dengan proses taaruf, adalah ruang yang tersedia untuk menyunting mawar berduri yang mekar dalam taman syariat Islam.

Permulaan yang barakah, akan menjadikan baitulmuslim dipenuhi ketenangan, cinta, dan kasih sayang yang berpanjangan. Sehingga ke syurga.

Fikir-fikirkan, kenapa statistik perceraian kian meningkat tahun demi tahun. Bukankah ramai yang berkahwin setelah melalui musim cinta yang begitu hebat ? Relevankah lagi alasan bahawa perlunya dating dan bercinta sebelum kahwin, demi menjamin kebahagiaan sesudahnya ?

Marilah sama2 kita bermuhasabah. Sungguh, belum terlambat untuk berubah!

February 4, 2011

3 persoalan

Aku percaya setiap daripada kita punya pendirian@prinsip tersendiri. Hatta dalam sekecil-kecil perkara, tindakan-tindakan yang kita ambil tidak akan membelakangkan prinsip tersebut. Masyarakat juga mungkin mengenal kita atas ketegasan dalam mempertahankan sesuatu yang kita yakini benar. Tidak kurang juga yang memperlekehkan dan hidup ibarat lalang, bisa ditiup ke arah manapun.


"Man 'arafa nafsahu, faqad 'arafa Rabbahu"
"Siapa yang mengenal dirinya, maka dia mengenal Tuhannya"


Bermula dengan mengenal diri, bersama 3 pertanyaan ini:

1) Dari mana aku datang?
2) Untuk apa aku diciptakan?
3) Ke mana aku akan kembali?


Jawapan pada persoalan2 ini akan menjadikan hidup kita lebih terarah. Kerana kita jelas akan tujuan penciptaan dan tempat kembalinya diri. Jati diri kita terbentuk hasil daripada kefahaman kita dalam menjawab persoalan ini.


Apa yang membarah dalam masyarakat dewasa kini adalah bila mana hilangnya jati diri lantaran leburnya kefahaman terhadap 3 persoalan tersebut. Akhirnya, menjauhlah kita dari Tuhan Pencipta sekalian alam. Gagallah kita mengenalnya. Tiadalah kita merasa sebagai hamba.


Terus mengaku Islam, tetapi dalam masa yang sama Islam diasingkan dari segenap aspek kehidupan. Samada ekonomi, politik, pendidikan, kesihatan, pentadbiran, dan sebagainya, Islam tinggal sebagai satu entiti yang asing dan hanya boleh dibicarakan di dalam surau dan masjid semata.


Aku sebagai anak rantau, melihat situasi ini dengan begitu jelas. Anak-anak muda, kian hilang jati dirinya, prinsipnya, dan hidup sekadar menikmati masa muda.


Paling ketara, semakin kurang anak2 muda kelihatan di masjid dan surau. Jadi, di mana mereka? Di mana kita? Dimana syabab harapan agama?

February 3, 2011

Diari musafir

Baru sahaja pulang. Sekarang sedang berada di KLIA menunggu flight ke kuantan (iaitu pada jam 6.20pm nanti). Sehingga detik itu ada beberapa jam lagi harus kulalui berseorangan. *Sedih bunyinya*


Oh ya, di hadapanku sekarang ada 2 pelajar yang baru pulang dari Mesir, juga sedang menanti penerbangan mereka pada jam 6pm nanti. Wajah penat jelas kelihatan. Sepintas perbualan, mereka sudah 2 kali transit dalam perjalanan dan tentunya rasa penat menguasai seluruh anggota.


Permusafiran kali ini memberi 1001 makna. Sentuhan tarbiyah dengan cara terseni amat terkesan di hati ini. Dalam beberapa jam Allah menemukan diriku dengan pelbagai watak manusia. 2 pelajar Mesir, beberapa orang makcik pertengahan usia, dan seorang kakak yang kaya dengan nasihat. Semoga Allah merahmati mereka dan melindungi perjalanan mereka. Sungguhpun baru mengenali, sifat pemurah mereka sangat mengagumkanku. Biarpun asing, mereka mempercayaiku, dan aku pula mempercayai mereka. Inikah yang dinamakan persaudaraan akidah ?


Terima kasih Tuhan...


Akhir kata,
Selepas pelbagai kekalutan yang berlaku di negara kita dan di seantero dunia, apakah tindakan yang kita lakukan sebagai respon ? Cukupkah sekadar bersuara di alam maya ? Inilah pertanyaan kepada diri. Dan sekalian yang membaca, silalah bertanya diri. Cukupkah rasa sensitif dan marah yang dipamerkan dengan tulisan mahupun lisan ?


Manifestasikanlah kata dakwah yang diungkapkan. Sebarkan kefahaman yang jitu. Serulah, serulah semampu diri, dalam kapasiti yang dimiliki. Kita mulia kerana Islam. Bertambah mulia di sisiNya dengan iman.

December 7, 2010

Sihat dan sakit


Semalam aku menemani ibu menjalani pemeriksaan kesihatan. Ramainya manusia sehinggakan rasa nak give up tunggu giliran. Tapi demi permata hati tercinta, tetaplah aku menunggu sambil berfikir jauh (berangan). Betapa ramainya manusia yang sakit, kerana apakah ?


Mungkin kerana kebanjiran makanan segera dan makan sejuk beku di pasaran ?


Mungkin kerana jiwa yang sakit dan merana ?


Hippocrates pernah berkata, "setiap yang berlebihan itu bertentangan dengan jiwa."


Plato pada satu ketika juga pernah berkata, terdapat 5 perkara yang dapat melemahkan tubuh, bahkan dapat membunuhnya: jatuh miskin, berpisah dengan orang-orang yang dicintai, terlalu banyak minum yang masam-masam, menolak nasihat, dan bersama-sama orang -orang yang bodoh mentertawakan orang-orang yang pandai.


Nyatanya, banyak penyakit yang berpunca daripada banyak makan@berlebih-lebihan@kuat makan. Sikap ini mengakibatkan seseorang mengalami peningkatan berat badan yang seterusnya menjadi asbab untuk penyakit2 lain seperti darah tinggi dan serangan sakit jantung. Manakala berlebih-lebihan dalam pengambilan makanan dan m
inuman bergula menyebabkan ramai yang mendapat penyakit kencing manis.


Hakikat ini diketahui ramai tapi sering dinafikan kerana tidak sanggup berpisah dengan kenikmatan. Makanan yang sedap seringkali mempunyai kandungan garam dan lemak yang tinggi, bergantung pada cara penyediaan makanan tersebut. Jadi, selagi belum mendapat komplikasi atau penyakit2 berkaitan, tabiat pengambilan yang tidak sihat akan terus diamalkan. Yang penting, sedap.


Kenikmatan yang akhirnya memudaratkan.


Kutanyakan kepada malam hari:
"Adakah rahsia di sebalik kegelapanmu
hal yang menyembunyikan berita dan rahsianya ?"

Ia menjawab:
"Tetapi aku belum pernah menjumpai dalam hidupku
suatu rahsia pun yang lebih tersembunyi
daripada pembicaraan para kekasih
di penghujung malam."


Samada sakit jasmani atau rohani, marilah sama-sama kita koreksi diri. Nikmat sihat yang dikurniakan, peliharalah, dan berikan hak yang sepatutnya pada jasadmu. Syukurilah segala kurnia dengan ketaatan dan pengabdian abadi pada Sang Pencipta yang Memberi, kerana bencana yang paling besar adalah penyakit hati yang disebabkan oleh jauhnya kita dari Dia. Kejauhan itu akan membuat jiwa suram dan derita, tiada
sinar bahagia.


"Dan Dialah yang telah menurunkan hujan sesudah mereka berputus asa dan menyebarkan rahmatNya. Dan Dialah yang Maha Pelindung lagi Maha Terpuji."
(As-Syu'ara : 28)


Bila ditimpa sakit atau musibah, yakinlah Dia akan menyembuhkan. Itu juga keyakinan yang kupasakkan untuk mereka2 yang dekat di hatiku, permata2 hatiku.


Semoga kita terus berada dalam lindungan Allah~



December 4, 2010

...

Sedar tak sedar, rupanya cuti sudah hampir ke penghujung. Sedar tak sedar juga, satu entri pun tak tertulis di sepanjang percutian kali ini. Rakaman peristiwa berlegar-legar di ruang fikir, hanya jari-jemari ini sedikit berat untuk menaip di papan kekunci.


Bila berada di rumah, barulah diriku bertaaruf sedikit dengan siaran televisyen. Itupun, untuk siaran tertentu sahaja. Sepanjang pemerhatianku, terlalu banyak promosi membuka aurat dihidangkan kepada penonton. Cinta yang melanggar batas islami diagungkan, hidup penuh keseronokan menjadi tujuan. Dongengan dan tahyul menjadi ikutan. Jiwa parah membarah, hilang pedoman tiada arah. Saban hari, itulah yang ditonton oleh anak2 kecil yang masih melalui proses tarbiyah. Andai sedari kecil terdidik jiwa2 mereka dengan hedonisme, maka pemimpin masa depan seperti apakah yang akan terlahir ?


Tentang isu kenaikan harga minyak dan gula, aku tidak begitu arif untuk mengupasnya. Cuma aku pasti, hal ini memberi impak besar pada golongan yang kurang berkemampuan. Ah, yang mampu pun pasti terkesan. Bukankah begitu ?


..................................................................



Itu tanda aku sedang termenung. Terlalu banyak yang nak ditulis sehingga tak tertulis. Sampai di sini dulu, maaf pada sahabat2 (terutama Cik Hasmira) atas 'kejarangan' diri ini mengutus berita. Bila kat umah, handphone memang diabaikan..maaf ya.


Kuakhiri kalam diri dengan sebuah puisi dengan sering berkumandang di IKIM.fm~


Mengenali-Mu, ya Allah
Rasa-rasanya makin merindu
Yakin-itu sudah tidak pernah
Aku tanyakan pada diriku
Kepada kalbuku
Kerana sejak aku tahu
Mengenal kehidupan
Ketika masih belum mengaji
Mukadam dan al-Quran
Aku sudah diberi kenal
Ada bintang
Ada bulan
Ada matahari
Dan awan
Ada yang menjadikan;
Begitu aku terasa
Tanpa bertanya
Aku ingin makin mendalam
Sudah kuterima kenyataan
Bahawa alam jagat dan
Seluruh mahluk ini
Ada yang menjadikan
Ciptaan-Mu, Tuhan
Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Berulang-ulang
Dalam hidupku diberi nafas
Berterusan menghayati nikmat
Makan minum dan tidur berehat
Maka dadaku penuh mengingati
Nama-Mu sentiasa
Di bibir
Dan degup jantungku
Sentiasa mengigati-Mu
Adalah tandaku
Dalam ikatan-Mu
Maka apabila aku diberi hayat
Di alam jagat-Mu
Bergerak, berkerja
Mencari makan dan
Bergaul dengan insan
Insan dan umat-Mu
Nama-Mu terasa terus
Menjadi sebutan
Degup hatiku;
Dan apa
Dan bagaimana
Dan di mana
Aku berada
Aku sentiasa dikurniai
Inayah-Mu, ya Allah
Maka aku sentiasa mengigati-Mu
Maka dalam bersorak
Bergerak dan berteriak
Untuk apa
Untuk bagaimana
Aku tiba-tiba saja
Seperti digerak
Oleh satu kuasa
Menyentuh dalam kalbuku:
Maka aku menjadi terkelu
Mati teriak sorakku
Kerana nafasku
Terasa tinggal satu, satu.
Maka tahu aku, ya Allah
Lonjak dan sorak
Gelak dan teriak
Bisa sekali lenyap
Dalam satu helaan nafas:
Ketika dalam kealpaan
Menghayati dalam kefanaan.

Masuri S.N.


October 31, 2010

Itsar

Sebenarnya, aku tak pernah menjangka. Walaupun begitu sedari awal telah kugariskan sempadan. Sempadan yang cukup jelas, supaya aku tidak terlupa.


Aku terus berjalan dengan penuh waspada. Namun tanpa sedar diriku telah berada begitu hampir dengan garisan itu. Rupanya, ada pelangi indah 7 warna. Indah sekali. Langkah diperlahankan. Tapi aku bingung, kerana untuk meniti pelangi itu aku harus berjalan melangkaui sempadan, dan sempadan itu pula tidak mudah untuk direntasi. Ada duri. Ada api. Ada jurang.


Kerana Allah, aku menjauh. Aku takut pada diriku, atas kelemahanku. Tidaklah mampu untuk aku melepasi sempadan itu. Mungkin pada akhirnya diri ini tercedera ataupun mati terbunuh. Kuingati satu persatu wajah insan2 tersayang. Sayu kelihatan. Malah ada airmata yang mengalir.


Setinggi-tinggi peringkat ukhuwah adalah itsar, dan serendah-rendah adalah berlapang dada.


Lama aku berfikir.


Ya Rahman, kurniakanlah ketenangan dan singkaplah hikmah agar terubati rasa sakit ini. Apa yang diharapkan hanyalah sebuah keredhaan. Itsar bukanlah sebuah pilihan, malahan bagiku ia merupakan kewajipan. Masa akan berbicara. Pelangi, tetap kan kelihatan setelah hujan reda. Hingga detik itu, biarlah kuteruskan kembali perjalanan yang masih jauh ini. Harus kulunaskan dulu segala tanggungjawab yang tergalas, pada ayahbonda, pada Islam tercinta.


Aku mampu, dan Allah tahu itu.

October 14, 2010

Merdekakan jiwa

Blog sawang. Sekian lama diabaikan. Hanya sesekali menjenguk, tanpa meninggalkan sedikit coretan. Ada benarnya, apabila ilham itu datang harus segera dituliskan. Jika tidak ia akan menghilang, dan semangat menulis juga memudar.


Hari Terbuka IIUM Kuantan baru saja melabuhkan tirainya. Belajar banyak perkara, mendepani pelbagai ragam manusia, mempraktikkan 'fasobrun jameel' sebagai pertahanan jiwa, tiada lain selain syukur yang amat pada Dia yang sentiasa Membimbing. Ya Allah, terimalah amal kami dan ampunilah dosa-dosa yang kami lakukan, dalam sedar atau tidak selama kami melaksanakan amanah itu...


Diuji dan diduga. Ketenangan diragut atas dasar mengagumi. Kata pepatah, andai takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Andai kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.


Merisaukan perkara2 sebegini merencatkan kembara sebuah perjalanan..~


Bangunlah!



Dengan mu'ahadah, jadilah kita orang yang teguh atas syariat Allah.

Dengan muraqabah, terasa diri tenang dengan kebersamaan Allah baik tika bersendirian mahupun di tengah khalayak ramai.

Dengan muhasabah, bebaslah kita daripada tarikan nafsu serta cepat kembali untuk memenuhi hak-hak Allah dan hak-hak manusia.

Dengan mu'aqabah, terhukumlah nafsu dan selamatlah diri daripada penyimpangan.

Dengan mujahadah, kita dapat melakukan segala kebaikan dan menundukkan sifat bermalas-malasan, pujuk rayu iblis dan rangsangan syahwat.
(Fatimah Syarha)


Ya Allah, merdekakan jiwaku!


p/s: Entri cacamerba