October 28, 2011

Menunggu~

Seminggu ini hatiku berbolak-balik. Gelisah, risau, dalam mempertimbangkan suatu hasrat.

AKU INGIN PULANG.

Ya Allah, sesungguhnya apa yang kudambakan saat ini adalah untuk bertemu melepas rindu pada keluarga tercinta. Kalau nak dinisbahkan pada bateri telefon, semangatku sudah tinggal 1 bar, untuk menempuh liku2 hidup selaku anak rantau.

"Kenapa tiba2 nak balik.."
Kakakku bertanya. Ayah pun bertanya hal yang sama, sebab mengikut perancangan asal, aku akan menghabiskan cuti seminggu di rumah sahabat (tabah kononnya). Maka, aku diam saja. Risau andai berkata sepatah, jadi drama airmata yang pasti merisaukan mereka. Ramai yang terlopong mendengar khabar ketidakpulangan ke kampung halaman. Teman2 asyik bertanya dan menduga,

"tabah benar kamu wahai sutera" itu kata mereka.

Tetap kubalas senyum. Andainya kalian tahu badai di hati ini, barangkali tiada yang mahu berumah di tubir hati. Dan barangkali tiada pun dihadiahkan kata tabah itu buat seorang insan sepertiku. Hanya sabar, sebagai peneman, sekurang-kurangnya tidaklah aku menangis seperti anak kecil yang dahagakan susu. Barangkali juga, kita sudah semakin dewasa, untuk mengendalikan segala jenis perasaan dengan lebih saksama.

Tidak mahu hanyut dengan perasaan, maka kukatakan, AKU AKAN PULANG :)

Meminta pertolongan dengan sabar dan solat itu sangat indah. Dan andai ada izinNya, tercapailah hasrat di hati. Tetap kutunggu khabar itu dengan sabar.

October 26, 2011

ratna sang ratu

Apabila hujan turun

Melimpahlah air dari perbukitan

Aliran menujah ke batu

Melekuk

Tanda waktu beralih

Seiring nyawa

Menghanyut usia

Sejalan nafas melangkah ke hujung

Awan..

Kalau dapat kucapai

Maka saktilah hamba

(Mushaf Laksamana Sunan)

Contengan

"Maka apabila kamu telah selesai dari satu urusan, maka kerjakanlah sungguh-sungguh urusan yang lain." (Al-Insyirah:7)

Singgah menconteng sebentar. Demi mengelakkan sebuah ketiduran. Diturutkan mata, barangkali sudah jauh ku dibuai mimpi. Namun urusan demi urusan menuntut komitmen, benarlah tanggungjawab itu lebih banyak dari masa.


Wahai Tuhanku,
Cukuplah kemuliaan bagiku dengan menjadi hambaMu
Dan cukuplah kehormatan bagiku bahawa Engkau sebagai Tuhanku
Engkau adalah seperti yang aku cintai
Makan jadikanlah kiranya aku seperti yang Engkau cintai
(Ali bin Abi Talib)


Imam As-Syahid Hasan Al-Banna berkata, "Aku tidak menulis buku kerana aku mencetak manusia." Maka manusia yang dicetak itulah yang akan menulis buku2 dan memanjangkan dakwah, seperti yang kita terima hari ini. Dan bagaimanapun jua, dakwah akan tetap mengalir seperti sungai. Ia akan tetap berjalan tanpa kita, kerana Allah boleh sahaja memilih insan lain untuk mengemban tugas itu. Alangkah ruginya seandainya kita memilih untuk lepas bebas dari tugas menyeru manusia kepada Islam. Hidup sekadar memenuhi kepuasan diri, berhibur bila bosan, shopping di waktu senggang, ia gembira namun penuh kekosongan.


Tapi, bukankah syurga itu mahal ? Kita pasti akan diuji. Dan memilih jalan itu, 1000 kali kita teruji.


Hening malam begini, teringat pula pada sahabat Rasulullah, Abu Musa Al-Asy'ariy, si pemilik bacaan malaikat. Rasulullah melukiskan keindahan suara Abu Musa, "Abu Musa benar2 dianugerahi seruling keluarga Daud a.s " (HR Tirmidzi). Entah bagaimana suaranya sehingga digambarkan sungguh merdu mengalunkan Al-Quran..


..............................


Dah 1.30am ? Izin undur diri~

October 9, 2011

Puisi mujahidah


Dengarkan ini dengan hati~

Mujahidah itu…
Hati meresahkan kesal menolak cintanya,
Api cinta marak dipendam bahangnya,
kerna itu Rahsia hati dan cintanya,
Pada Allah saja diceritakan rahsianya,
Terusan berdoa memohon kepada-Nya,
Moga itu terbaik buat dirinya…

Mujahidah itu…
Di luaran dia tenang,
Dalam hati iman menentang,
Dalam hati nafsu berperang,
Antara dua cinta yang bertandang,
Namun, cinta Allah selalu menang,


Cinta kedua dilepaskan terbang…
Hari demi hari terus menyapa,
Kata orang mengapa tak punya rasa,
Sedangkan dia masih remaja,
Kata orang mengapa dia bahagia,
Sedangkan dia tak punya cinta,
Kata orang mengapa mantap hatinya,
Sedangkan dia tiada rijal penguatnya,
Mulut itu mulut mereka,
Sabarlah, biarkan saja…

Mujahidah itu…
Rabiatul Adawiyah itulah idolanya,
Sumayyah itulah obornya,
Khawlah itulah kecemburuannya,
Nusaybah itulah pahlawannya,
Fatimah itulah teladannya,
Aishah itulah buktinya,
Khadijah itulah kebanggaannya…

Mujahidah itu…
Dia mahu jadi bidadari,
Terus solehah di jalan Ilahi,

Itu mimpinya di malam hari,
Itu angannya di siang hari,
Itu bicaranya sehari-hari,
Menjadi isteri sentiasa berbakti,
Kepada suami bakal berbudi,
Pilihan Allah akan terbukti!
Ia janji yang sangat pasti!

Mujahidah itu…
Tidak takut kehilangan cintanya,
Biar pelbagai ujian melanda,
Lelaki itu, perlukan masa,
Memilih buat diri mereka,
Pilihan yang semestinya istimewa,
Calon ibu, buat zuriatnya!
Penyeri dunia, itulah temannya!

Di Syurga, itulah bidadarinya!
Membuat lelaki segan dengannya,
Menyedarkan, lelaki melainkan peranan,
Bahawa wanita bukan mainan,
Tetapi mutiara itulah nilaian…

Ya, mujahidah itu..
menghitung langkahnya,
Muhasabah dirinya,

katanya, dia masih banyak kurangnya!
Hanya menggeleng kepala..
Tatkala datangnya lelaki menggoda
Hanya bisu berdiam saja,
Diam maknanya iman sahaja bersuara,
Pandangan matanya dibutakan sahaja,
Buta maknanya hatinya mula berkata,
Rijal kekasih Allah itu yang diharapnya!
Pejuang agama itulah pembimbingnya!

Redha ibubapa itulah pilihannya!
Bukannya rijal yang sebaliknya…

Mujahidah itu…
Bukan dia tidak punya hati
Tetapi hatinya sudah mati,
Tatkala ummat Muhammad dilukai,
Hatinya menangis penuh ngerti,
Tatkala jasad saudaranya dikelar sana-sini,
Hatinya meraung penuh simpati,
Tatkala adik seakidah dirogoli,

Dibunuh tanpa secebis insani,
Hatinya jadi benar-benar mati,
Tak punya masa untuk mengasihani…

Mujahidah itu…
Tidak dia rasa kekurangan,
Kerna sudah cukup adanya Tuhan,
Tidak dia sepi sendirian,
Bila sentiasa bertemankan Tuhan,

Dia umpama permata yang bersilauan,
Kerdipnya menyilau pandangan,
Dialah wanita harapan Tuhan,
Kebanggaan umat zaman berzaman…

Mujahidah itu…
Menjadi gadis sudah fitrahnya,
Menjadi pilihan bukan pintanya,
Sebagai penyeri itulah hakikatnya,

Menjadi khalifah itulah tugasnya,
Membuat silap bukan sekali,
Namun mengalah tidak sekali,
Menjadi seorang mukminat sejati,
Itulah usahanya setiap hari…

Mujahidah itu…
Tetaplah dirinya teguh di satu jalan…

Menjadi bidadari sememangnya impian…
Melangkah dengan sejuta harapan…
Mengejar cinta dan keredhaan Tuhan…
Moga beroleh Syurga idaman…
Ameen…Ya Rabbb…

sumber:



October 8, 2011

Sesuatu di antara waktu

Aku melihat wajah-wajah itu. Terasa tenang. Terubat lelah. Apalah sangat rasa ini jika hendak dibandingkan jerih perih Rasulullah dan para sahabat ? Apa yang bisa kukatakan pada baginda saat bertemu nanti ?


Persoalan ini menikam tepat ke jantung.


"Duhai Rasulullah, aku bersaksi bahawa aku telah menyambung tugasmu menyeru manusia pada kebaikan." Layakkah aku mengucapkan ini?


Terduduk lagi.


Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar, bukan sedikit pedih yang ditagih.

..............................................................................

Di batas waktu
Dia setia mendengarku
Hingga diperkenan dalam restu
Naluri diam membisu
Dialah Pengharapan
Dia akan menyampaikan
Dia juga menentukan
Bersama masa
Yang menyimpan rahsia

October 5, 2011

Mari berhijab



Pastinya ramai yang masih terbius dengan forum bersama Ustaz Riduan dan Catriona Ross sebentar tadi kan ? Walaupun tidak dapat turut hadir (kerana ada tuntutan yang lebih utama), aku pasti ini merupakan satu perkembangan yang teramat positif untuk persoalan hijab.

Hijab?

Aurat?

Err...

Kenapa terkesima ? Beleklah Al-Quran, surah An-Nur, ayat ke 31 (tengok sekarang). Jelas, terang, nyata tanpa perlu disuluh lagi kan perintah Allah kepada wanita:

1. Menjaga pandangan
2. Memelihara kemaluan
3. Jangan menampakkan aurat (hendaklah melabuhkan tudung sehingga menutupi dada), kecuali kepada orang2 yang disebutkan
4.Jangan menghentakkan kaki agar diketahui perhiasan yang disembunyikan


Nah. Dalilnya jelas terbentang.

Wanita yang menutup aurat, ibaratnya bagai emas permata yang disimpan elok dalam bekas kaca. Tertutup dengan kain baldu, sehinggakan tiada secalit habuk pun yang terlekat. Usah katakan emas permata, semasa membeli buku atau majalah pun, pastinya kita akan memilih buku yang belum dibelek dan disentuh, dan selalunya masih berbalut dan terletak di bahagian bawah atau belakang buku2 yang terdedah. Betul kan?


Jangan rasa hodoh dan buruk bila berhijab. Bahkan wanita kelihatan cantik sekali, apalagi di sisi Allah. Ia tidak mengurangi sedikit pun kualiti dirimu, malah penghormatan pula yang akan didapatkan. Mata2 nakal akan merasa malu untuk memberi usikan. Paling tidak, hanya ucapan salam yang mereka berani ucapkan. Tidak lebih dari itu. Terpeliharalah maruah dan diri sebagai wanita Islam.


Kita harus menjadi mawar berduri di taman larangan. Bukan sesuka hati diceroboh, bukan sebarang kumbang boleh mendekat. Hanya kumbang pilihan Allah bisa mendapatkan bunga mawar seharum itu.


Paling utama, kenapa harus dikorbankan peluang menjadi bidadari syurga hanya kerana ingin menjadi perhatian di dunia fana nan sementara?


Di taman2 syurga kita akan mempersembahkan segalanya, bergembira dengan nikmat Tuhan atas segala yang telah diusahakan di dunia. Mahukah kita bersama bergandingan, berusaha mematuhi perintah Allah, untuk ganjaran syurga yang kekal selamanya ?


Berusahalah. Berdoalah. InsyaAllah. DIA akan memberi kekuatan. Usah pedulikan sinisnya sindiran, kerana ia tidak memberi rugi atau untung sedikit pun.


Jom. Berhijab dengan SEMPURNA ^_^

September 29, 2011

Ketika cinta memanggil

Bismillah.
Momento sutera sepi terbiar. Kadangkala kujenguk juga, namun jemari terpaku saat ilham datang mencurah.

Inferior?

Entahlah. Malu pada Tuhan, bila apa yang kutulis akan dipersoal semula nanti di SANA. Sedang usahaku masih sekerat cuma.

Menjadi jundullah, perlu jiwa besar. Berkorban jiwa seluruhnya. Suluhan jiwaku, bukan membesar malahan mengecil. Kerana tongkat belum kutemukan, langkah mudah sumbang. Tersadung. Tersalah.

Kini aku dan teman2berada di fasa kedua terakhir pengajian. Menempuh alam klinikal, tak pernah terfikir bagaimana rasanya. Suatu kepuasan bila dapat menggunakan ilmu2 teori yang dipelajari sebelum ini, namun dunia seakan berputar pada paksi yang sama. Terpenjara.

Sekali lagi persoalan aulawiyat menjadi dilema.


................................................................................


Ada tiada rasa dalam jiwa
Rindu akan memanggilMu
kerna setiap jiwa telah bersumpah
setia hanyalah kepadaMu

Bila cinta ada di dalam jiwa
Wangi bunga dunia tiada nestapa
Segala yang dirasa hanyalah Dia
Hati kan memuja hanya padaNya