Rindu memanggilku untuk kembali menulis di sini. Sekadar mampu. Lumrahnya, contengan-contengan bisu adalah ganti pada kata yang tak mampu terluah secara lisan. Bukan kerana tiada yang mendengar, cuma bimbang ianya disalah erti, dan berpotensi menyakiti.
Memilih untuk menjadi lilin, tiada pilihan lain melainkan kau akan terbakar. Begitukah definisi pengorbanan ?
Merenung kembali susur perjalanan setelah menamatkan alam belajar, dan memasuki alam pekerjaan; terasa seperti membelek buku lama yang penuh warna. Aku mensyukuri setingginya kurnia Ilahi, setelah lama merantau menuntut ilmu dan berjauhan dari keluarga, Allah memberi ruang untukku berbakti di bumi sendiri. Sekaligus sentiasa berdekatan dengan ibu ayah tercinta. Sejak berusia 13 tahun dan mencapai usia 24 tahun, pencarian ilmu menagih pengorbanan untuk berada jauh dari insan-insan tersayang. Dan kini, aku berpeluang untuk menyalami tangan keduanya setiap pagi sebelum ke tempat kerja. Terima kasih Tuhan atas peluang ini. Terima kasih. Alhamdulillah.
Tapi itu tidak menyebabkan aku terbakar lalu mencair. Tidak. Hanya lilin yang mencair.
Pengorbanan seumpama itu diumpamakan bagai mentari yang memancar terang cahaya. Kau hidup dalam ketaatan pada Sang Pencipta, bersinar dan memancar menerangi alam buana. Hangatmu menghidupkan dirimu dan seluruh makhluk beroleh tenaga pada cahaya. Subhanallah.
Dan kini, definisi pengorbanan mula menguji. Lagi. Dengan skala yang lebih besar.
Kali ini, harus menjadi lilin, menerangi, lalu hangat mencair. Tidak pula diberi pilihan selainnya. Ibaratnya seperti kau dihukum mati.
Hukuman mati.
Ada yang sangat bergembira mengheret dan meninggalkan jasad di lembah hukuman itu. Ada yang sangat bahagia terus bermain-main kerana segala permainan telah berjaya. Fatamorgana membutakan segala mata hati dan jiwa.
Through and through.
February 26, 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment