September 19, 2012

# 2: Baitul Izzah

Cuaca terasa begitu dingin. Nur mendongak ke langit, sekuntum senyum mekar tanpa dipaksa. Subhanallah, indahnya ciptaanMu! Bintang berkerlipan di langit terang, terlihat juga purnama yang sedang bersinar di ufuk sana. Sesekali terdengar burung menyanyi, mengalun zikir buat Khaliq yang Esa.

"Allahu Allah, aku tidak sendiri, ramai yang menemani rupanya." desis hati Nur.

Langkahnya kian dipercepatkan. Jam menunjukkan hampir 8.30pm. Dari jauh kedengaran riuh rendah suara anak-anak sedang mengaji Al-Quran. Sampai sahaja di pintu utama, si cilik comel Maisarah memeluknya.

"Kak Nur ke mana tadi? Maisarah nangis tau sebab rindu.." rengek Maisarah, si comel yang usianya mencecah 4 tahun. Maisarah sangat petah dan rapat dengan Nur, kakak kesayangannya.

"Maisarah rindu akak? Maafkan akak ye sayang, tadi akak kena keluar beli barang. Tak mau nangis-nangis dah. Sini akak nak peluk lagi." Seketika itu juga seramai 6 orang lagi sikecil datang mengelilingi Nur.

"Kami pun nak peluk kak Nur.."

Nur tertawa bahagia.

................................................................................

Baitul Izzah.

Di situlah Nur menumpahkan selaut sayangnya buat anak-anak tidak berdosa yang dibuang darah daging sendiri. Nur menjadi ibu, kakak dan juga kawan buat anak-anak kecil itu. Nur juga dengan berbesar hati membuka kelas mengaji Al-Quran dan mengajar mereka mengenal Tuhan sekadar mampu. Bersamanya, seorang wanita mulia bernama ibu Zainab dengan setulus hati menyayangi mereka.

"Ibu, kasihan anak-anak ini kan. Entah dimana ibu ayah mereka.." Nur berbicara dengan mata berkaca.

"Itulah yang sering ibu fikirkan. Apapun, ibu rasa terlalu insaf kerana diberi peluang untuk menjaga dan menjadi ibu buat mereka. Allah Maha Lembut, teguranNya kadang halus berseni, kadang keras menikam. Ibu nak tanya, Nur rasa kenapa seorang ibu sanggup membuang anak yang telah lelah dikandungnya 9 bulan 10 hari?" Lembut ibu Zainab bertanya.

"Hm, zina menyebabkan anak-anak yang tidak sah taraf dilahirkan. Dan zina tidak akan berlaku jika jalan-jalan mendekati zina ditutup sepenuhnya. Semua ini tidak akan dapat difahami tanpa melihat dengan kaca mata iman. Syabab kita sekarang pula lebih senang hanyut dengan hedonisma dan kian jauh dari cara hidup Islam yang sebenar. Mungkin bukan salah mereka sepenuhnya, kerana institusi keluarga merupakan medan terpenting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Ya Allah, masalah akarnya sangat membarah bu.." balas Nur dengan wajah berkerut.

Ibu Zainab melempar senyum pahit. Realiti yang menyakitkan, terasa ijazah yang dimiliki tiada nilainya. Terlalu banyak yang perlukan bantuan di luar sana.

"Nur, sebab tu ibu nak pesan sangat, terus tingkatkan diri sebagai produk solehah, raih ilmu setingginya untuk maslahah agama, dan bina baitul muslim dengan pasangan yang soleh, ya? Kita nak ajak seramai mungkin manusia mengenal Tuhan dan keindahan Islam, moga gelombang ini akan bersinergi dengan lahirnya generasi soleh solehah." perlahan tapi menusuk bicara ibu Zainab. Azimat ditutur penuh yakin dan harap. Nur angguk dalam kebisuan.

Di luar bintang-bintang terus berbicara dengan bahasa rahasia, seakan mengerti hati Nur yang diterjah 1001 rasa. Ayuh syabab, bangkitlah dari lena yang panjang.

"Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak ikut berperang) yang tidak mempunyai ‘uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan derajat orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk (tidak ikut berperang tanpa halangan). Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (surga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar, (iaitu) beberapa derajat daripadaNya, serta ampunan dan rahmat. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."
 (An-Nisa': 95-96)

September 17, 2012

# 1

"Nur tolak lagi ?"

Nur angguk perlahan, mengiakan. Pandangan dilempar jauh sejauhnya.

"Kenapa?"

Nur diam tanpa sebutir kata. Sebolehnya dia tak mahu menjawab dan persoalan itu tidak pernah gemar dibahaskan.

"Kenapa? Berapa kali dah Nur tolak. Ataupun ada yang ditunggu?". Sahabatnya itu terus mendesak.

"Semua atas kehendak Allah. Nur tak buat keputusan sendiri-sendiri, dan tiada istilah menunggu pun."

"Tapi sampai bila harus menolak.."

"Nur tak nak fikir lagi. Mungkin belum bersedia." Wajahnya tenang, namun mata persis berkaca. Kalbunya berbisik "andai semalam tidak sepahit itu.."

............................................................................
p/s: I want to be a writer (Ummu Hani)


September 14, 2012

Jujur

Masa bergerak perlahan. Perlahan dan berjalan meninggalkan. Masa lalu adalah suatu yang paling jauh dari kita, kata Imam Ghazali Rahimahullah. Benarlah, kerna mustahil untuknya diputar, hanya mampu dikenang sebagai ingatan (manis@pahit).

Sedang ralit menyiapkan kerja, lagu Siti Khadijah dendangan In-Team kedengaran. Terhenti seketika (tomakninah), sebak dan sedih menyatu rasa.  Ummuna Khadijah yang tulus cinta, pengorbanan tak bertepi buat suami dan agama. Betapa seorang aku terinspirasi dengan wanita syurga yang sangat disayangi Rasulullah, ingin menjadi sepertinya..bisakah?

Dush. Jauh mengelamun, aku menyambung kembali pekerjaan. mp3 Siti Zulaikha pula bergema. Macam  cerita dalam lagu pula (lain kali pasangla mp3 Syeikh Mishary). Berfikir kian jauh.  Siti Zulaikha setelah bertaubat dari fitnah yang dicipta, menjadi Pencinta Allah yang hebat. Namun rasa hatinya pada Yusuf tak pernah surut. Setianya Siti Zulaikha dalam penantian, akhirnya dibalas Tuhan yang Maha Pengasih. Manis :)

Ai, tak boleh jadi ni. Hilang fokus sudah. Banyak berfikir cepat letihnya. Perlu memberi hak rehat kepada diri, tidur awal, mudahan tidak terlepas masa bersunyi-sunyi dengan Dia yang memegang segala rahsia. InsyaAllah, muhasabah, dan maafkan semua orang sebelum tidur.


p/s: Seorang sahabat berpesan, jujurlah dengan apa yang dirasa. Menunggu mereka untuk jujur dan tidak terus berdalih. Kalaulah mereka tahu, itu sangat melukakan~


September 11, 2012

kosong

Alhamdulillah.
Masih diberi hayat, untuk terus bernafas sebagai hamba.

Pasca Ramadhan (dah penghujung Syawal pun), memberiku 1001 hikmah.
Sebenarnya terlalu banyak yang mahu ditulis, namun terasa lebih indah jika ia dilantunkan dalam munajat sepi dinihari.

Pernah dengar kan, semakin banyak yang kita kongsikan pada makhluk, makin kurang pergantungan kita pada Allah ?

Satu saja yang aku inginkan, tolonglah doakan diri yang rapuh ini. Andai ianya kaca pastinya sudah lama ia pecah berderai. Tinggal serpihan.

Ada perkara yang benar-benar mahu kita fahami, tapi tiada upaya. Lantas berlalu diri menjauhi.
Ada keliru yang mahu dirungkai, namun kabus tebal menutup pandangan mata hati.
Ada juga yang kita telah fahami dengan jelas, namun titik akhir masih samar.

Dan di akhirnya, semua pertanyaan itu kembali pada Dia yang Maha Mengerti.