September 29, 2009

Putaran kehidupan

Kembali sudah ke medan perjuangan~

Syawal semakin berlalu pergi dengan membawa 1001 cerita. Ada yang indah dan ada yang pahit. Bukan semua insan bergembira di pagi Syawal, meski ianya hari kemenangan yang harus diraikan dengan penuh kesyukuran. Aku sebagai anak rantau tentunya sangat bersyukur kerana dapat berkumpul bersama keluarga tercinta. Bersyukur amat kerana masih diberi peluang untuk meraikan hari yang mulia bersama insan2 yang dekat di hati. Bersyukur kerana masih diberi hayat dan kehidupan...

Hati ini sebak semasa menziarahi pusara nenek. Sudah 4 tahun dia pergi. Aku bermimpi bertemu dengan arwah di pertengahan Ramadhan. Semoga nenek bahagia di sana..

Pusara nenek bersebelahan dengan pusara atuk. Tapi aku tidak pernah berkesempatan bertemu dengannya. Hanya selalu mendengar cerita dari emak bahawa atuk adalah seorang yang sangat baik. Penyayang dan lembut orangnya. Ingin sekali bertemu dengannya, mungkinkah?

Aku juga menziarahi pusara abang. Beruntungnya, dia pergi tanpa dosa. Penghuni syurga, alangkah! Pusara abang yang seorang lagi agak jauh, doa kutitip penuh syahdu. Mereka telah pergi dahulu. Dunia ini penuh tipu daya yang menyakitkan. Dunia ini tiada keadilan. Di sana nanti, di hari pengadilan, semuanya akan terlerai. Terbenamlah semua kebatilan. Mereka yang kejam dan penuh muslihat, tunggu sahaja detik itu. Lihatlah samada kamu mampu ketawa lagi ataupun sebaliknya.

Perjuangan ini harus tetap dijalani dengan penuh kesabaran. Hidup ini, putarannya tersendiri.

~Mahu keluar sebentar dari segala kekalutan diri~

September 20, 2009

Ramadhan berganti Syawal

29 Ramadhan

Selepas bersahur, aku dan kakak terus memulakan projek membuat kek. Rasa seronok dan bersemangat, walaupun aku harus menunggu hampir sehari untuk kek itu siap.

Sepanjang hari kami berada di dapur, membuat segala persiapan untuk open house yang akan diadakan pada raya pertama. Abang2 aku pula sibuk mengemas dan menghias rumah. Nasib baik mereka rajin~

Kami tidur pada jam 2 pagi dalam keadaan kepenatan...


1 Syawal

Juadah hari raya berjaya disiapkan. Tak sangka hari ini menjelma jua. Syukur sangat kerana kali ini kami semua dapat berkumpul. Kalau tak, ada saja yang tak dapat balik beraya. Riuh-rendah rumah kami, tambah2 lagi semasa sesi ambik gambar.

Ramadhan berganti Syawal. Dalam kesyukuran, terasa sedih untuk meninggalkan Ramadhan. Adakah peluang untuk bertemu lagi?

p/s: Sambutlah Syawal dengan penuh gembira dan kesyukuran, walaupun banyak assignment yang tak siap lagi. Bagi aku, biarlah dulu~



Dengan ayah, mak, dan kakak~


My big bro

September 10, 2009

Meniti perubahan

Alhamdulillah, kita sudah melangkah ke fasa ketiga Ramadhan, fasa pembebasan dari api neraka! Semoga amal ibadah kita diterima, semoga kita dijauhkan dari azab neraka. Banyak sekali harapan2 yang tertanam setiap kali memasuki Ramadhan, namun pelaksanaannya adakah mencapai tahap maksimum? Atau cukup sekadar optimum sahaja? Walaupun syaitan telah dibelenggu, namun 'anak didiknya' yakni nafsu memainkan peranan dengan baik sekali. Sehingga jadilah Ramadhan ini sebagai bulan yang meletihkan. Nauzubillah. Semoga kita dapat mendidik nafsu itu dengan ibadah yang ikhlas kepada Allah swt.

Setiap orang akan meniti perubahan dalam kehidupannya. Bezanya hanya terletak pada jenis perubahan itu. Ke arah positif atau negatif?

Meniti perubahan~ianya tidak mudah...

Perubahan ke arah yang lebih baik? Pastinya mengundang rasa bahagia, pada empunya diri dan orang2 di sekelilingnya.

Perubahan ke arah keburukan? Ia akan mencetuskan aura kurang senang. Dark and gloomy. Orang yang melakukan kejahatan tidak akan merasa bahagia dan puas dengan kehidupan, sehingga hidup terasa sempit.

Perubahan terkadang menderitakan. Contoh paling mudah ialah apabila kehilangan insan yang disayangi. Mudahkah kita beradaptasi dengan sebuah kehilangan? Perubahan dari ada kepada tiada. Perkataan sabar tentu sahaja tidak cukup, jika rasa percaya kepada DIA tiada.

Perubahan boleh saja dilakukan, asal kita mahu.


Kemahuan+usaha+doa=tiada yang mustahil


Usai meniti perubahan, istiqamahlah dengan jalan yang dipilih. Tekadkan hati dan usah menoleh ke belakang. Letakkan sepenuh pergantungan pada Al-Khaliq. Kita tidak pernah sendirian dalam meniti perubahan, meski seluruh dunia mencemuh, DIA selalu ada bersama.

Berubahlah ke arah yang lebih baik! Berubahlah demi mencapai mardhatillah. Aku, kamu, kita, waktu terlalu singkat untuk dipersia.

Aku punya kenangan tersendiri tentang perubahan. Kenangan yang sentiasa hidup subur dalam ingatan. Ia bukanlah kenangan yang manis, kerana mengingatinya sahaja membuat sekeping hati ini menangis.

Mengertilah, berubah perlukan kekuatan yang bukan sedikit. Jua segunung pengorbanan yang harus kita ikhlaskan. Jika berubahmu bukan kerana Ar-Rahman, akan tersungkurlah kamu di pertengahan jalan, lelah, teramat lelah. Akhirnya, kamu memutuskan untuk berhenti sahaja, menoktahkan perubahan.

Apabila berubah, kita mungkin akan berdepan dengan kehilangan. Kerana tidak semua insan akan memahami bentuk2 perubahan. Kerana setiap insan punya persepsi yang berbeza. Kerana setiap insan punya kehendak yang harus dipuaskan. Suatu ketika dahulu, aku pernah melaluinya. Dan aku merelakan kehilangan untuk meneruskan perubahan. Perubahan yang disalahertikan. Aku tahu aku akan bersedih, namun aku tidak boleh berhenti. Kekasihku sudah menyeru, berulangkali memberi peringatan. Aku ikhlaskan kehilangan itu, kerana Kekasih pasti akan memberi ganti yang lebih baik. Aku relakan semuanya berakhir dan terkubur di lipatan kenangan.

Cukuplah sudah, pasti kalian merasa pening. Teruskan misi memburu lailatul qadar, semoga keluarnya kita dari bulan Ramadhan sebagai insan baru yang telah meniti perubahan. Insan yang lebih baik tentunya. Insan yang akan menyebar risalah dakwah, mencipta gelombang~

September 4, 2009

Menghitung hari

Masa seakan begitu lambat berlalu. Penantian yang menyeksakan, boleh kusimpulkan begitu. Jasad sahaja yang berada di sini, padahal ingatan ini terlalu kuat pada ayahbonda. Aku kerinduan! Dalam membilang detik untuk kembali ke bumi kenyalang, banyak rupanya perkara yang harus diselesaikan. Ah, tapi hati menidakkan. Lantas ada yang terabai. Duhai pengembara, janganlah bersikap lengah dalam melaksanakan tanggungjawabmu. Kau hamba, namun kau jua khalifah!

Semalam aku bertemu bulan. Hati ini tersenyum. Memang lelah di perjalanan, namun memandang kebesaran Allah membuat diri ini insaf. Kuatlah insan! Dunia ini sekadar tempat berteduh, mencari bekal untuk negeri abadi. Aku tersenyum lagi, kerana sedih pilu sudah terpujuk. Terima kasih Tuhan~

Sucikan hati ini, dalam menempuhi Ramadhan yang berbaki. Terkadang aku risau, takut terjerat dengan umpan nafsu. Kiri kanan, aku melihat ramai yang asyik dalam fantasi cinta manusia. Benar, ia kelihatan indah. Ia memang indah. Namun indah itu mungkin mengundang murka Allah. Aku mohon padamu Rabbi, agar aku istiqamah menjaga hati~


Aku tidak mahu berpaling
Pada yang mengganggu dan menggugat
Sapanya meletihkan diri

Hadirnya mengundang
penat