May 14, 2016

Apa khabar, momento ?

Assalamualaikum,

Uzur benar momento sutera, dulunya seringkali saya bermain di sini. Menulis secara rawak, meluah secara kias. Kata bijaksana, orang yang tidak membaca, tak akan mampu menulis. Mungkin, ada benarnya.

Lebih dua tahun saya hanya menyimpan manuskrip2 sebagai draf, entah mengapa. Pun begitu, saya tetap suka menulis santai2..sebab menulis adalah nadi kehidupan. Seperti sutera dan bulan. Seperti laut dan ombak.

Semalam saya bermimpi, menikmati samudera seluas mata memandang. Biru amat, dan bertiangkan gunung yang dilitupi salji. Subhanallah..tak berkelip mata, dan saya harapkan ia bukan mimpi. Namun terjaga dengan hati yang kecewa.

...

Apa khabar samudera
Gadis yang sama bertanya
Kesekian kalinya

...

Sutera
Bosphorus
14052016


February 26, 2014

Hukuman mati

Rindu memanggilku untuk kembali menulis di sini.  Sekadar mampu.  Lumrahnya, contengan-contengan bisu adalah ganti pada kata yang tak mampu terluah secara lisan.  Bukan kerana tiada yang mendengar, cuma bimbang ianya disalah erti, dan berpotensi menyakiti.

Memilih untuk menjadi lilin, tiada pilihan lain melainkan kau akan terbakar.  Begitukah definisi pengorbanan ?

Merenung kembali susur perjalanan setelah menamatkan alam belajar, dan memasuki alam pekerjaan; terasa seperti membelek buku lama yang penuh warna.  Aku mensyukuri setingginya kurnia Ilahi, setelah lama merantau menuntut ilmu dan berjauhan dari keluarga, Allah memberi ruang untukku berbakti di bumi sendiri. Sekaligus sentiasa berdekatan dengan ibu ayah tercinta. Sejak berusia 13 tahun dan mencapai usia 24 tahun, pencarian ilmu menagih pengorbanan untuk berada jauh dari insan-insan tersayang. Dan kini, aku berpeluang untuk menyalami tangan keduanya setiap pagi sebelum ke tempat kerja.  Terima kasih Tuhan atas peluang ini.  Terima kasih.  Alhamdulillah.

Tapi itu tidak menyebabkan aku terbakar lalu mencair. Tidak. Hanya lilin yang mencair.

Pengorbanan seumpama itu diumpamakan bagai mentari yang memancar terang cahaya.  Kau hidup dalam ketaatan pada Sang Pencipta, bersinar dan memancar menerangi alam buana.  Hangatmu menghidupkan dirimu dan seluruh makhluk beroleh tenaga pada cahaya. Subhanallah.

Dan kini, definisi pengorbanan mula menguji. Lagi. Dengan skala yang lebih besar.
Kali ini, harus menjadi lilin, menerangi, lalu hangat mencair. Tidak pula diberi pilihan selainnya. Ibaratnya seperti kau dihukum mati.




Hukuman mati.

Ada yang sangat bergembira mengheret dan meninggalkan jasad di lembah hukuman itu.  Ada yang sangat bahagia terus bermain-main kerana segala permainan telah berjaya.  Fatamorgana membutakan segala mata hati dan jiwa.

Through and through.






July 16, 2013

Jawapan pertanyaan

Mereka bertanya tentang kesetiaan.

Setiaku padaNya yang mencipta dan mengurnia seluruh keindahan dunia dan pancaindera.
Setiaku pada agama yang menjadi cara hidupku.
Setia pada setiap satu garis petunjuk Al-Quran dan Sunnah Rasul Junjungan.
Setia pada jalan amar ma'ruf wa nahi munkar yang penuh duri menikam.
Setia pada ibu ayah yang mengasihi tanpa syarat dan yang telah banyak berkorban.
Setia pada kakak dan abang yang selalu melindungi dan bersama susah senang.
Setia pada sahabat, teman, dan kawan yang hadir mewarnai titian kehidupan.
Setia pada amanah kerjaya yang tergalas setiap waktu.
Setia menatap matahari, bulan dan bintang.
Setia walau kesamaran.
Setia pada setiap satunya, membuat diri setia pada apa sahaja yang ditaklifkan.
Kesetiaan dan kejujuran adalah nadi hidup seorang mukmin.
Memegangnya walau jariku berdarah.
Sakit menjaga setia, namun sesekali takkan mungkir.
Setia biar derita.
Dia ada.


Regards.

June 1, 2013

Pit stop

Benarkah kembali
Silam yang telah pergi
Untuk menidakkan
Atau mengiyakan
Hanya masa dan Dia takdir penentu
Kalau ia nyata
Itu kurnia
Kalau ia sekadar singgah
Itu juga kurnia
Moga dititipkan hidayah
Untuk terus membangunkan hati.
Berlari
Takkan berhenti
Hentian kita nun di sana
Akhirat. Mardhatillah.

September 19, 2012

# 2: Baitul Izzah

Cuaca terasa begitu dingin. Nur mendongak ke langit, sekuntum senyum mekar tanpa dipaksa. Subhanallah, indahnya ciptaanMu! Bintang berkerlipan di langit terang, terlihat juga purnama yang sedang bersinar di ufuk sana. Sesekali terdengar burung menyanyi, mengalun zikir buat Khaliq yang Esa.

"Allahu Allah, aku tidak sendiri, ramai yang menemani rupanya." desis hati Nur.

Langkahnya kian dipercepatkan. Jam menunjukkan hampir 8.30pm. Dari jauh kedengaran riuh rendah suara anak-anak sedang mengaji Al-Quran. Sampai sahaja di pintu utama, si cilik comel Maisarah memeluknya.

"Kak Nur ke mana tadi? Maisarah nangis tau sebab rindu.." rengek Maisarah, si comel yang usianya mencecah 4 tahun. Maisarah sangat petah dan rapat dengan Nur, kakak kesayangannya.

"Maisarah rindu akak? Maafkan akak ye sayang, tadi akak kena keluar beli barang. Tak mau nangis-nangis dah. Sini akak nak peluk lagi." Seketika itu juga seramai 6 orang lagi sikecil datang mengelilingi Nur.

"Kami pun nak peluk kak Nur.."

Nur tertawa bahagia.

................................................................................

Baitul Izzah.

Di situlah Nur menumpahkan selaut sayangnya buat anak-anak tidak berdosa yang dibuang darah daging sendiri. Nur menjadi ibu, kakak dan juga kawan buat anak-anak kecil itu. Nur juga dengan berbesar hati membuka kelas mengaji Al-Quran dan mengajar mereka mengenal Tuhan sekadar mampu. Bersamanya, seorang wanita mulia bernama ibu Zainab dengan setulus hati menyayangi mereka.

"Ibu, kasihan anak-anak ini kan. Entah dimana ibu ayah mereka.." Nur berbicara dengan mata berkaca.

"Itulah yang sering ibu fikirkan. Apapun, ibu rasa terlalu insaf kerana diberi peluang untuk menjaga dan menjadi ibu buat mereka. Allah Maha Lembut, teguranNya kadang halus berseni, kadang keras menikam. Ibu nak tanya, Nur rasa kenapa seorang ibu sanggup membuang anak yang telah lelah dikandungnya 9 bulan 10 hari?" Lembut ibu Zainab bertanya.

"Hm, zina menyebabkan anak-anak yang tidak sah taraf dilahirkan. Dan zina tidak akan berlaku jika jalan-jalan mendekati zina ditutup sepenuhnya. Semua ini tidak akan dapat difahami tanpa melihat dengan kaca mata iman. Syabab kita sekarang pula lebih senang hanyut dengan hedonisma dan kian jauh dari cara hidup Islam yang sebenar. Mungkin bukan salah mereka sepenuhnya, kerana institusi keluarga merupakan medan terpenting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Ya Allah, masalah akarnya sangat membarah bu.." balas Nur dengan wajah berkerut.

Ibu Zainab melempar senyum pahit. Realiti yang menyakitkan, terasa ijazah yang dimiliki tiada nilainya. Terlalu banyak yang perlukan bantuan di luar sana.

"Nur, sebab tu ibu nak pesan sangat, terus tingkatkan diri sebagai produk solehah, raih ilmu setingginya untuk maslahah agama, dan bina baitul muslim dengan pasangan yang soleh, ya? Kita nak ajak seramai mungkin manusia mengenal Tuhan dan keindahan Islam, moga gelombang ini akan bersinergi dengan lahirnya generasi soleh solehah." perlahan tapi menusuk bicara ibu Zainab. Azimat ditutur penuh yakin dan harap. Nur angguk dalam kebisuan.

Di luar bintang-bintang terus berbicara dengan bahasa rahasia, seakan mengerti hati Nur yang diterjah 1001 rasa. Ayuh syabab, bangkitlah dari lena yang panjang.

"Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak ikut berperang) yang tidak mempunyai ‘uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan derajat orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk (tidak ikut berperang tanpa halangan). Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (surga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar, (iaitu) beberapa derajat daripadaNya, serta ampunan dan rahmat. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."
 (An-Nisa': 95-96)

September 17, 2012

# 1

"Nur tolak lagi ?"

Nur angguk perlahan, mengiakan. Pandangan dilempar jauh sejauhnya.

"Kenapa?"

Nur diam tanpa sebutir kata. Sebolehnya dia tak mahu menjawab dan persoalan itu tidak pernah gemar dibahaskan.

"Kenapa? Berapa kali dah Nur tolak. Ataupun ada yang ditunggu?". Sahabatnya itu terus mendesak.

"Semua atas kehendak Allah. Nur tak buat keputusan sendiri-sendiri, dan tiada istilah menunggu pun."

"Tapi sampai bila harus menolak.."

"Nur tak nak fikir lagi. Mungkin belum bersedia." Wajahnya tenang, namun mata persis berkaca. Kalbunya berbisik "andai semalam tidak sepahit itu.."

............................................................................
p/s: I want to be a writer (Ummu Hani)


September 14, 2012

Jujur

Masa bergerak perlahan. Perlahan dan berjalan meninggalkan. Masa lalu adalah suatu yang paling jauh dari kita, kata Imam Ghazali Rahimahullah. Benarlah, kerna mustahil untuknya diputar, hanya mampu dikenang sebagai ingatan (manis@pahit).

Sedang ralit menyiapkan kerja, lagu Siti Khadijah dendangan In-Team kedengaran. Terhenti seketika (tomakninah), sebak dan sedih menyatu rasa.  Ummuna Khadijah yang tulus cinta, pengorbanan tak bertepi buat suami dan agama. Betapa seorang aku terinspirasi dengan wanita syurga yang sangat disayangi Rasulullah, ingin menjadi sepertinya..bisakah?

Dush. Jauh mengelamun, aku menyambung kembali pekerjaan. mp3 Siti Zulaikha pula bergema. Macam  cerita dalam lagu pula (lain kali pasangla mp3 Syeikh Mishary). Berfikir kian jauh.  Siti Zulaikha setelah bertaubat dari fitnah yang dicipta, menjadi Pencinta Allah yang hebat. Namun rasa hatinya pada Yusuf tak pernah surut. Setianya Siti Zulaikha dalam penantian, akhirnya dibalas Tuhan yang Maha Pengasih. Manis :)

Ai, tak boleh jadi ni. Hilang fokus sudah. Banyak berfikir cepat letihnya. Perlu memberi hak rehat kepada diri, tidur awal, mudahan tidak terlepas masa bersunyi-sunyi dengan Dia yang memegang segala rahsia. InsyaAllah, muhasabah, dan maafkan semua orang sebelum tidur.


p/s: Seorang sahabat berpesan, jujurlah dengan apa yang dirasa. Menunggu mereka untuk jujur dan tidak terus berdalih. Kalaulah mereka tahu, itu sangat melukakan~