February 20, 2010

Monolog anak rantau

Susah sebenarnya hendak menyusun ayat yang indah. Apalagi dalam keadaan begini. Aku merasakan jalur fikirku seperti benang yang berpintal-pintal. Mana pangkalnya, mana hujungnya, sudah tidak mampu ditemukan.


Begitu pun, kupanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepadaNya di atas belasNya ke atasku dan keluarga. Terlalu banyak hal yang terjadi, sehingga kadangkala aku sendiri tidak percaya. Dan setiap satu yang berlalu perlahan-lahan mendewasakan diri ini, ianya madrasah terbaik untukku menjadi seorang insan yang tegar. Bukan sebagai insan manja yang lemah, bergantung semata pada yang fana.


Cuma...
Ada masanya aku tewas dengan perasaan. Ditambah pula dengan rutin kehidupan yang melemaskan, ketabahan diri perlahan sirna. Sakit. Pedih. Tapi, jikalau anak rantau berhati lemah, bagaimana pula dengan perjuangan yang dipikul? Anak rantau tidak boleh hanyut dengan kesedihan. Dia hanya perlukan sedikit ruang. Supaya dia bisa mengukir senyum dalam keadaan apapun. Dia punya harapan, dan dengan harapan itu dia perlu terus melangkah, biarpun perlahan.


Bila segalanya tidak tertahan, mutiara jernih itu jatuh jua. Mengalir tanpa mahu berhenti. Jalanan permusafiran ini sesungguhnya terlalu sukar ditempuhi berseorangan.





Anak rantau mula mengerti tentang nilai kehidupan dan manusia. Dan keyakinannya pada Pencipta yang Agung semakin subur, sandaran hidup dan matinya. Bersama berita sedih, Allah berikan khabar gembira. Syukur, syukur ya Rabbi.


Tuhanku, kurniakanlah nikmat iman dan kesihatan pada insan2 yang amat kusayangi. Lapangkanlah dada mereka, serta teguhkanlah jiwa mereka dalam menempuhi ujianMu.
Aku mohon~


p/s: Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara

No comments: