October 31, 2010

Itsar

Sebenarnya, aku tak pernah menjangka. Walaupun begitu sedari awal telah kugariskan sempadan. Sempadan yang cukup jelas, supaya aku tidak terlupa.


Aku terus berjalan dengan penuh waspada. Namun tanpa sedar diriku telah berada begitu hampir dengan garisan itu. Rupanya, ada pelangi indah 7 warna. Indah sekali. Langkah diperlahankan. Tapi aku bingung, kerana untuk meniti pelangi itu aku harus berjalan melangkaui sempadan, dan sempadan itu pula tidak mudah untuk direntasi. Ada duri. Ada api. Ada jurang.


Kerana Allah, aku menjauh. Aku takut pada diriku, atas kelemahanku. Tidaklah mampu untuk aku melepasi sempadan itu. Mungkin pada akhirnya diri ini tercedera ataupun mati terbunuh. Kuingati satu persatu wajah insan2 tersayang. Sayu kelihatan. Malah ada airmata yang mengalir.


Setinggi-tinggi peringkat ukhuwah adalah itsar, dan serendah-rendah adalah berlapang dada.


Lama aku berfikir.


Ya Rahman, kurniakanlah ketenangan dan singkaplah hikmah agar terubati rasa sakit ini. Apa yang diharapkan hanyalah sebuah keredhaan. Itsar bukanlah sebuah pilihan, malahan bagiku ia merupakan kewajipan. Masa akan berbicara. Pelangi, tetap kan kelihatan setelah hujan reda. Hingga detik itu, biarlah kuteruskan kembali perjalanan yang masih jauh ini. Harus kulunaskan dulu segala tanggungjawab yang tergalas, pada ayahbonda, pada Islam tercinta.


Aku mampu, dan Allah tahu itu.

October 14, 2010

Merdekakan jiwa

Blog sawang. Sekian lama diabaikan. Hanya sesekali menjenguk, tanpa meninggalkan sedikit coretan. Ada benarnya, apabila ilham itu datang harus segera dituliskan. Jika tidak ia akan menghilang, dan semangat menulis juga memudar.


Hari Terbuka IIUM Kuantan baru saja melabuhkan tirainya. Belajar banyak perkara, mendepani pelbagai ragam manusia, mempraktikkan 'fasobrun jameel' sebagai pertahanan jiwa, tiada lain selain syukur yang amat pada Dia yang sentiasa Membimbing. Ya Allah, terimalah amal kami dan ampunilah dosa-dosa yang kami lakukan, dalam sedar atau tidak selama kami melaksanakan amanah itu...


Diuji dan diduga. Ketenangan diragut atas dasar mengagumi. Kata pepatah, andai takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Andai kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.


Merisaukan perkara2 sebegini merencatkan kembara sebuah perjalanan..~


Bangunlah!



Dengan mu'ahadah, jadilah kita orang yang teguh atas syariat Allah.

Dengan muraqabah, terasa diri tenang dengan kebersamaan Allah baik tika bersendirian mahupun di tengah khalayak ramai.

Dengan muhasabah, bebaslah kita daripada tarikan nafsu serta cepat kembali untuk memenuhi hak-hak Allah dan hak-hak manusia.

Dengan mu'aqabah, terhukumlah nafsu dan selamatlah diri daripada penyimpangan.

Dengan mujahadah, kita dapat melakukan segala kebaikan dan menundukkan sifat bermalas-malasan, pujuk rayu iblis dan rangsangan syahwat.
(Fatimah Syarha)


Ya Allah, merdekakan jiwaku!


p/s: Entri cacamerba