October 31, 2010

Itsar

Sebenarnya, aku tak pernah menjangka. Walaupun begitu sedari awal telah kugariskan sempadan. Sempadan yang cukup jelas, supaya aku tidak terlupa.


Aku terus berjalan dengan penuh waspada. Namun tanpa sedar diriku telah berada begitu hampir dengan garisan itu. Rupanya, ada pelangi indah 7 warna. Indah sekali. Langkah diperlahankan. Tapi aku bingung, kerana untuk meniti pelangi itu aku harus berjalan melangkaui sempadan, dan sempadan itu pula tidak mudah untuk direntasi. Ada duri. Ada api. Ada jurang.


Kerana Allah, aku menjauh. Aku takut pada diriku, atas kelemahanku. Tidaklah mampu untuk aku melepasi sempadan itu. Mungkin pada akhirnya diri ini tercedera ataupun mati terbunuh. Kuingati satu persatu wajah insan2 tersayang. Sayu kelihatan. Malah ada airmata yang mengalir.


Setinggi-tinggi peringkat ukhuwah adalah itsar, dan serendah-rendah adalah berlapang dada.


Lama aku berfikir.


Ya Rahman, kurniakanlah ketenangan dan singkaplah hikmah agar terubati rasa sakit ini. Apa yang diharapkan hanyalah sebuah keredhaan. Itsar bukanlah sebuah pilihan, malahan bagiku ia merupakan kewajipan. Masa akan berbicara. Pelangi, tetap kan kelihatan setelah hujan reda. Hingga detik itu, biarlah kuteruskan kembali perjalanan yang masih jauh ini. Harus kulunaskan dulu segala tanggungjawab yang tergalas, pada ayahbonda, pada Islam tercinta.


Aku mampu, dan Allah tahu itu.

No comments: