March 10, 2011

Larut

Allah memberi banyak asbab untuk hambaNya gembira, juga bersedih. Hatta dengan sekecil-kecil asbab, semuanya berlaku dengan izinNya jua. Di saat dan ketika ini, jiwaku mula terusik dengan kerinduan kepada insan2 tersayang yang begitu jauh di mata. Hanyalah sering mendengar suara, lewat panggilan di celahan waktu.

Namun aku bersyukur, kerana masih di jalan ini, terus disibukkan dengan pentarbiyahan diri dan orang lain, membuatkan jiwa ini boleh bertahan seadanya. Aku bersyukur, kesibukan akademik tidak menyebabkan aku disisihkan Allah daripada terus berada dalam jalan perjuangan. Aku bersyukur kerana sering ditegur melalui pelbagai medium, dengan sifat RahimNya, Dia tidak membiarkan aku hanyut. Aku malu, namun teramat bersyukur dengan limpahan kasih sayangNya. Malu lantaran diri yang banyak berdosa, dan dosa2 itu seakan ingin menghempapku dengan segunung rasa bersalah. Allah yang bersifat Rahman dan Rahim masih sudi pula melimpahkan selautan rahmat pada insan hina dina sepertiku. Ya Allah.

Aku berdoa, semoga hati ini tidak bosan dengan bimbingan. Tidak jemu dengan teguran. Kerana fitrahnya manusia memerlukan taujih ruhiyah saban waktu. Tidak haruslah kita merasa cukup dan tidak perlukan tarbiyah. Amal kebaikan lama-kelamaan akan luput dari dalam diri andai tidak terus dibajai dan disuburkan dengan rangkaian majlis2 ilmu, mutaba'ah amal dan sahabat yang soleh/solehah. Adalah kita menjauh dan akhirnya merasa tidak perlu, ataupun dengan beralasan, semua itu Allah yang menghitungnya. Katakan apa sahaja, Allah jua yang akan menimbang taranya...

Malam semakin larut. Hati terus diusik rindu. Lagi dan lagi. Ya Allah, Kau lindungilah keluargaku, rahmatilah mereka, sesungguhnya mereka dalam jagaanMu, di bawah KekuasaanMu..


1 comment:

Anonymous said...

Rindunye nk baca nukilan terbaru si Una ni.. ^^