December 10, 2011

Lebih indah daripada bulan


Saat entri ini ditulis, hati sedang menanti penuh sabar proses 'installation' mr.kaspersky yang entah bila nak lengkapnya. Bila dicongak, sudah setahun lebih aku mengambil risiko, membiarkan laptop tanpa anti-virus, setelah tamat previous licence, seingatku tahun 2010. Setahun lebih penuh tawakkal, dengan sikap bertangguh untuk membeli yang baru. Cuma akhir2 ini rasa bimbang itu kadangkala menjengah. Tambahan pula segala benda2 penting tersimpan dalam laptop ini. Hatta rahsia (rahsialah sangat, banyak jurnal dan tesis je) pun tersimpan kemas di sini. Maka terpaksalah, mengorbankan sedikit, demi kebaikan berpanjangan.

Oh ya, malam ni ada gerhana bulan kan? Aku cuma berpeluang melihat langit nan memerah, tapi sang bulan tak pula kelihatan. Sedih2. Tapi bagaimanapun, pahala solat sunat gerhana tak boleh dipersia. Dan ceritera tentang bulan ini benar2 mengingatkan aku pada pesona Sang Kekasih, yang wajahnya digambarkan lebih indah dari sinaran bulan purnama. Masya Allah..

Tatkala Jabir samurah menatap wajah rasulullah di malam terang bulan, dia berkata:
"Aku memandang wajah nabi, lalu melihat ke arah bulan, maka bagiku baginda jauh lebih indah dari bulan yang sedang memancarkan cahaya itu."
(Hadith riwayat At-Tirmidzi)

Bagaimana agaknya ya? Melihatkan si purnama sahaja cukup membuatkan diri ini ralit, terbuai-buai dek kerana terlalu indah. Inikan pula jika lebih daripada itu, maka tidak hairanlah baginda dikasihi makhluk langit dan bumi. Ditambah lagi dengan kemuliaan akhlak Al-Quran. Em, keindahan yang benar-benar sukar diterjemahkan dengan kata-kata, namun mengundang getar sukma. Kekasih Allah, cahaya buat seluruh alam..

Dan begitulah aku, setia menunggu kemunculan bulan saban waktu. Andai ditanya kenapa, mudah saja jawapannya. Ini caraku mencari diriku, sehingga ke dasar yang paling dalam. Ia bukan obsesi kosong, manusia diseru untuk berfikir tentang kebesaran Allah. Ayat2 kauniyyah, yakni mentadabbur ciptaan Allah di langit dan bumi memberi impak yang amat besar, apatah lagi buat insan2 berjiwa sentimental sepertiku :)

Dan sebenarnya diri ini begitu mendamba, bisa melentur akhlak seindah biasan cahaya sang bulan. Mungkinkah? Mungkinkah bisa kita menjadi persis sutera yang lembut, namun mahal dan sukar didapati. Bersinar peribadi bak bulan purnama. Menjadi bidadari bermata jeli. Allahu..itulah nukilan impian setiap wanita dunia, yang berhajat menjadi wanita syurga~


Maka, carilah cara yang tersendiri, untuk jiwa2 kita sentiasa merasai kebesaran Tuhan. Lantaran kita sebagai hamba, hidup ini pasti dipenuhi dengan tugas2 sebagai khalifah dan ibadah sebagai hamba. Carilah masa biarpun sesaat, untuk memandang ke dada langit. Saksikanlah, betapa kecilnya kita berbanding cakerawala ini, apatah lagi di hadapan Rabbul Jalil!

2 comments:

faizalMS said...

apabila terlihat keindahan alam yang mengujakan lagi menenangkan, maka kembalikanlah ia kepada Khaliqnya..=)

SuTeRa said...

Segala pujian hanya buat yang Menciptakan. Benar sekali.