December 18, 2009

titipan 1 Muharam

Dingin sekali pagi ini. Pagi 1 Muharam. Semasa peristiwa hijrah, agaknya Rasulullah sedang bagaimana ya ketika ini?


Peristiwa besar tersebut membuat airmata bergenang. Jalan dakwah kekasih Allah itu sangat teruji. Sungguhpun begitu, Allah tidak akan sesekali meninggalkan insan yang dikasihiNya sendiri.


"Innallaha ma'ana"


Untuk itu, hijrah kali ini aku mahu berusaha untuk lebih kuat dan tidak mudah mengalah. Meyakini keberadaan Allah setiap masa, setiap dugaan haruslah ditempuhi dengan lapang dada. Juga sentiasa meletakkan pergantungan hanya kepada Dia semata-mata, kerana segala yang berlaku adalah dengan izinNya.



Bagaimana pula dengan sahabat? Tidak bolehkah kita bergantung padanya?


Bagiku, sahabat adalah harta yang dikurniakan sebagai teman juang. Sahabat adalah insan istimewa yang mampu merasakan kepedihan hati sahabatnya. Tapi aku, sejujurnya tidak mahu jiwa ini terlalu terikat dengan perhubungan sebegitu. Keterikatan kepada sesuatu selain Allah, pada suatu masa akan membuatmu kecewa.


Aku bukanlah mahu prejudis. Tapi ini kebenaran yang harus dilihat dengan mata hati.


Sayangi sesuatu seadanya, supaya kita tidak kecewa setelah ia tiada.


Bersahabatlah, lillahi Ta'ala. Tautan hati yang berlandaskan akidah dan perjuangan di jalan Allah, akan membimbing ikatan itu ke syurga. Bersahabatlah, tanpa sebab materi atau semata-mata kerana dia selalu membuatmu ketawa. Jika begitu, suatu hari kamu akan kecundang kekecewaan. Kerana insan akan berubah bersama putaran masa.


Bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah, andai ukhuwah kerana Allah.




Tanyakan pada diri, apa yang kita harapkan dari seorang sahabat? Andai kita mahukan pengertian, adakah kita sudah mengerti hatinya?


Ataukah sahabat adalah sekadar peneman untuk ke kafeteria?


Kadangkala, kita perlukan sahabat hanya untuk kepentingan diri semata. Kita mempergunakan insan yang akrab di sisi, di luar sedar. Kita menyakiti hatinya, dengan sikap pentingkan diri.


Adakalanya, kita hanya akan mendapatkan sahabat apabila merasa susah dan perlukan bantuan. Dan apabila tiada keperluan, kita meninggalkannya lantas pergi kepada yang lain pula, untuk mencukupkan segala kekurangan. Dan tanpa rasa bersalah, kita mengulangi putaran ini. Akhirnya seorang sahabat yang sering dipergunakan, dalam diam terus terluka.


Itukah namanya persahabatan?


Renung2kanlah.


Salam maal hijrah. Semoga tiap dari kita berjaya mencapai matlamat tertinggi seorang mukmin, yakni menggapai mardhatillah.


Apa gunanya redha manusia jika Allah murka?


No comments: