January 28, 2010

Berdoalah

Doa senjata mukmin.


Seringkali kita mendengar ungkapan ini.


Namun sejauh mana kita meyakininya, atau dengan lebih tepat lagi mempraktikkannya?


Tentu sahaja kita sering berdoa, apalagi selepas solat. Kita melaluinya seperti sebuah rutin wajib, hingga adakalanya terlupa untuk memaknai pengertian berdoa. Kita 'amin' kan saja doa sang imam, dengan keadaan penuh leka. Fikiran terawang-awang. Memang sukar untuk khusyuk...


Letih ya. Macam pergi berperang. Berperang dengan nafsu + syaitan. Status doa itu sendiri, hanya Allah yang akan menentukannya.


Tentu ramai yang tahu tentang law of attraction. Bagiku, itu adalah konsep berdoa. Ia merujuk tentang keyakinan kita terhadap Allah. Keyakinan itu akan membina rasa positif dalam diri setiap insan. Tak percaya?


Cuba dulu. Sebenarnya, kita sering melakukannya secara tidak langsung. Contohnya, dalam peperiksaan, kita telah berusaha semampunya membuat persediaan. Dan kita juga yakin bahawa akhirnya Allah sebagai Penentu. Berjaya atau tidak, hanya Dia yang Maha Tahu. Rasa percaya akan bantuan Allah akhirnya menumbuhkan semangat dan nilai optimis yang tinggi untuk menduduki peperiksaan.


Subhanallah.


Teringat satu peristiwa yang membuka mataku tentang kekuatan doa.


...............................................................................................................................


Ini cerita penghujung semester lepas. Masih segar di ingatan, pada masa itu duit saku sudah berada di tahap kecemasan. Aku sangat risau. Aku jarang meminta pada ayah. Bahkan jika aku harus meminta, kakakla yang menjadi pengantara.


Tapi aku segan. Sebolehnya aku mahu berusaha sendiri.


Berfikir dan terus berfikir, namun menemui jalan buntu. Boleh saja hendak buat buat bisnes sendiri, tapi hasilnya memakan masa. Sedangkan dengan apa yang ada, hanya boleh bertahan dalam masa beberapa hari sahaja.


Pagi itu, dalam hening Subuh aku meminta. Meminta pada Dia. Mohon dibukakan jalan keluar dari kebuntuan. Rasa begitu hina dan tiada upaya. Tidak mungkin dapat kulupakan detik2 itu, dimana diri merasa penuh harap, hanya pada yang Satu...


Selesai berdoa, perasaanku lapang. Jiwa ini dikurniakan ketenangan yang tak terungkap. Terlupa seketika tentang masalah.


Tidak lama kemudian, ayah menelefon. Berbual seketika. Dia bertanya adakah aku masih punya wang. Aku mengiakan saja. Malu hendak bercerita hal sebenar. Kemudian, aku berbual pula dengan kakak. Bercerita banyak perkara. Tapi, mungkin juga kakak boleh membaca kegusaran hati dari suara yang kurang ceria. Mungkinlah.


Beberapa jam selepas itu henfon aku berbunyi. Oh, ada mesej masuk.


"Akak dah bank-in duit td. Gunalah untuk belanja. "


Airmataku terus bergenang. Subhanallah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar.


.........................................................................................................................................


Aku bersyukur kerana doa seorang aku, anak rantau yang penuh hina ini Allah sudi makbulkan. Apatah lagi doa orang2 yang dekat di sisiNya. Apatah lagi doa orang2 yang tulus mendamba cintaNya. Apatah lagi doa orang2 yang mengharap redhaNya.


Terima kasih Tuhan, kerana sudi menerima doa insan sepertiku, insan yang banyak berbuat maksiat padaMu...


Sahabat2, mari kita berdoa selalu. Semoga kita semua mendapat keredhaanNya dan dilindungi dari azab api neraka.
Ameen...

No comments: