August 3, 2010

Dakwah Fardiyah

Setelah Abu Thalib meninggal dunia, penderitaan Rasulullah saw semakin berat, sehingga beliau pergi ke Thaif, dengan harapan untuk mencari perlindungan dari suku Tsaqif, dan dengan harapan agar mereka mahu menerima ajaran Islam.


Ketika sampai di Thaif, beliau menjumpai tokoh2 dari suku Tsaqif, yang mereka itu tiga bersaudara: Abdu Yalail bin Amr bin Umair, Mas'ud, dan Hubaib. Beliau mengajak mereka untuk mengikuti ajaran Islam dan menjelaskan maksud kedatangannya. Akan tetapi, mereka tidak mahu menerima kedatangan beliau, bahkan memanggil kaumnya dan menyuruh mereka agar mengusir dan mengolok-olok Rasulullah saw. Akhirnya Rasulullah berlindung di kebun milik Utbah bin Rabi'ah dan Syaibah bin Rabia'ah, yang waktu itu keduanya berada di kebun tersebut dan mengetahui apa yang sedang dialami Rasulullah saw.


Rasulullah duduk di bawah pohon kurma. Sementara hati kedua pemilik kebun itu tergerak untuk menolong, lalu menyuruh pembantunya yang biasa dipanggil Adas,

"Ambillah setangkai anggur dan letakkan di nampan ini, lalu berikan kepada orang itu."

Adas pun melaksanakan perintah tersebutdan datang ke hadapan Rasulullah seraya berkata,

"Silakan dimakan."

Rasulullah menerima anggur tersebut, lalu memetiknya, setelah itu membaca "bismillahirrahmanirrahim" dan memakannya.

Adas terperanjat dan memandang Rasulullah dengan hairan. "Demi Allah, ucapan ini bukanlah ucapan penduduk negeri ini."

Rasulullah berkata, "Wahai Adas, kamu berasal dari mana dan apa agamamu?"

Adas menjawab, "Saya beragama nasrani, saya dari negeri Ninawai."

Rasulullah bertanya, "Apakah dari negerinya Yunus bin Matta, hamba Allah yang shalih itu?"

Adas berkata, "Apa yang anda ketahui tentang Yunus bin Matta?"

Rasulullah menjawab, "Dia adalah saudaraku. Dia seorang nabi dan aku juga seorang nabi."

Mendengar jawapan itu, Adas langsung memeluk nabi, menciumi kepala, kedua tangan, dan kedua kaki beliau

(Petikan dari buku "Bagaimana menyentuh hati" karya Abbas as-Siisiy)
-----------------------------------------------------------------------------------------


Apakah ibrah dari kisah ini?

Mari kita lihat bagaimana cara Rasulullah memikat hati Adas, lalu membimbingnya perlahan-lahan, sehingga akhirnya mengisytiharkan keislamannya.

1) Rasulullah membaca basmalah sebelum makan anggur. Adas terkejut kerana belum pernah mendengarnya. Di sini terlihat betapa pentingnya kita menunjukkan peribadi muslim.

2) Rasulullah memanggilnya dengan nama Adas secara langsung. Ini mempunyai erti yang amat besar untuk mengakrabkan sebuah persahabatan. Rasulullah juga bertanya tentang negeri dan agamanya.

3) Rasulullah mengaitkan tempat asal Adas iaitu Ninawai dengan seorang karakter yang mulia dan dihormati iaitu Yunus bin Matta. Ini menjadikan hati Adas semakin tersentuh dan tertarik.

4) Rasulullah menggelarkan Yunus bin Matta sebagai "saudaraku". Jawapan ini menambahkan keakraban dan rasa percaya Adas. Terserlah sifat tawadhu' Rasulullah, yakni menyebut nama Yunus terlebih dahulu sebelum menyebut nama baginda sendiri.


Di sinilah terdapat pelajaran penting bagi seorang daie. Seorang daie harus mampu menyentuh hati mad'u nya dengan pendekatan yang bersesuaian. Seseorang yang tidak memiliki kunci, akan sukarlah baginya untuk memasuki sebuah rumah. Begitu juga dengan manusia, hatinya hanya akan dimasuki dakwah apabila menggunakan kunci hati yang betul. Dan itu yang kita harus usahakan. Mencari kunci hati-hati yang setiap satunya dipegang oleh DiaPemilik Hati.


Mengingati nama dan kecenderungan seorang sahabat adalah perkara kecil yang mendalam kesannya. Apatah lagi dengan seorang kenalan baru. Dakwah, tidak akan berjalan andai tiada perasaan kasih seorang daie. Banyak ibrah yang akan kita temui andai kita menelusuri sirah Rasulullah dan para sahabat serta bagaimana Islam berjaya mengetuk hati2 yang mendambakan kebaikan. Ianya tidak berlaku secara tiba-tiba. Ada kasih seorang Murabbi yang turut sama meniti hati-hati yang diterjah sinar keimanan.


"Maka disebabkan rahmat Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu berlaku keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauh dari sekelilingmu."
(Ali-Imran: 159)


Semoga jalan tarbiyah akan terus membentuk diri untuk memiliki peribadi semulia Rasul Junjungan, nabi Muhammad saw. Setiap yang datang dari baginda adalah method dakwah dan manhaj tarbiyah. Semoga hati ini terus tsabat dalam memburu redha Allah. Semoga akhirnya tercapai cita2 membina Ustadziatul Alam yakni tertegaknya agama Islam di muka bumi ini. Allahuakbar!


p/s: Bacalah buku ini. Sangat2 bermanfaat. Malu pada Dia, kerana diri yang amat hina. Apakah sumbanganku pada agamaku di sepanjang kehidupan ini? Rasanya, belum ada! =(

No comments: