August 30, 2009

Ramadhan dan ketenangan

Dalam kekalutan menyiapkan pelbagai tugasan, hati terasa rindu hendak mencatat sesuatu di sini. Bukan apa2, hanya sekadar perkongsian rasa hati seorang anak rantau yang melihat dunia dari perspektif yang paling seni.

Perasan ataupun tidak, hati dan perasaan kita pada bulan Ramadhan ini lebih tenang berbanding bulan lain. Mengapa agaknya? Soalan ini pernah kutanyakan pada seorang sahabat.


"Apa yang awak buat sampai rasa tenang?"


Soalan itu dikembalikan semula padaku.

Aku berfikir. Apa ya?


"Mungkin sebab lebih banyak baca Quran berbanding bulan lain.."


Jawabku perlahan. Akalku mengiyakan.

Fitrahnya, manusia akan berasa tenang apabila dekat dengan Penciptanya. Allah pernah berfirman yang mafhumnya, "Dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang". Bukan sekadar mengingati dengan hati, tapi memanifestasikannya dengan amal ibadah yang berterusan. Itu bukti pengabdian diri kita kepada Rabb. Dan itu yang kita laksanakan dengan banyak sekali pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Tidak hairanlah, jika hati kita menjadi sangat tenang. Fikiran pula jernih kerana kurang melakukan hal yang lagha. Kita bahkan menjadi golongan yang disebut sebagai fastabiqul khairat, yakni golongan yang berebut-rebut untuk melakukan kebaikan.

Subhanallah~

Madrasah Ramadhan inilah yang melembutkan hati2 yang keras, menghidupkan nubari yang mati...

Namun kita terpaksa juga menghadapi realiti dunia, bila manusia hanya berpuasa untuk lapar dan dahaga. Sentiasa memikir bagaimana berbuka yang paling 'havoc', dan jualan murah sempena aidilfitri. Ini Ramadhan, tapi tetap ramai pasangan yang berdua-duaan menikmati indahnya bercinta apalagi dapat berbuka bersama si dia. Ini Ramadhan, tapi muslimah tetap berbangga mempamerkan aurat kepada dunia, Ini Ramadhan, tapi solat dan Al-Quran entah ke mana.

Ini Ramadhan, janganlah persiakannya, kerana mungkin ini Ramadhan terakhir kita~~~

p/s: Syukur ini bulan Ramadhan. Kalau tidak mungkin aku akan sangat teruji dengan sikap segelintir insan yang menghalalkan penipuan dan kerahsiaan. Aku harus bersabar untuk tempoh masa yang lama, mampukah hati ini menempuhnya?

No comments: