"Adalah kamu (umat Islam) itu sebaik-baik umat yang ditampilkan bagi seluruh manusia, di mana kamu melaksanakan amar ma'ruf dan nahi munkar dan kamu beriman kepada Allah s.w.t..."
(Ali-Imran:110)
Kita telah diiktiraf sebagai khaira ummah. Dan setiap dari kita punya amanah untuk melaksanakan amar ma'ruf nahi munkar. Mungkin aku bukanlah insan yang selayaknya untuk berbicara mengenai hal ini, namun kiranya boleh aku kongsikan sepicis pengalaman yang telah kulalui dalam menempuh jalan dakwah ini.
Sebut sahaja perkataan dakwah, ada yang mula menjarakkan diri. Berundur setapak ke belakang. Terbayang personaliti berserban, berkopiah atau bertudung labuh. Akhirnya solusi yang terbaik adalah lari bersembunyi, atau sekadar menjauh dari segala amanah yang harus dilaksanakan.
"Aku tak nak jadi hipokrit. Aku pun bukannya baik sangat, macam mana nak nasihatkan orang lain..."
Sahabat2, kita sentiasa melalui proses belajar. Belajar dan mengajar, begitulah putaran kehidupan ini. Malahan para doktor juga perlu sentiasa berusaha untuk mencari penawar segala penyakit aneh dan belum pernah lagi melanda sebelum ini. Untuk itu, mereka juga harus melalui proses belajar.
Proses ini tidak akan pernah berhenti sehinggalah ke akhir hayat kita. Maka, para daie tidaklah terkecuali. Jika amar ma'ruf nahi munkar hanya boleh dilakukan setelah seseorang itu mencapai kesempurnaan, maka apakah yang akan terjadi pada masyarakat Islam? Bangsa dan negara?
Justeru itu, sentiasalah memperkayakan diri dengan ilmu. Siap siagakan diri dengan hujah, dan beramallah dengan segala yang kita yakini. Atas kapasiti yang dimiliki, cegahlah kemungkaran yang kita lihat, samada dengan kuasa, tangan, atau membenci dalam hati. Ajaklah masyarakat muslim untuk melakukan ma'ruf. Inilah tugas dan tanggungjawab yang terpikul di atas bahu kita.
Sesungguhnya, aku rindu untuk menempuhi jalan itu bersama mereka. Kian lama terasa kian jauh, lantaran diri ini yang serba tidak berdaya. Namun semangat di dalam diri masih sama, seperti dahulu.
Sahabat2 yang aku kasihi, aku tahu kamu mengerti. Meskipun kita tidak berjuang bersama seperti dahulu, bukanlah bermakna aku meninggalkan apa yang aku yakini. Kita sama2 pernah merasakan manisnya perjuangan bukan? Dan itulah yang menjadi azimatku, dalam menempuhi dimensi hidupku kini yang serba kacau.
Aku mahu memperbaiki segala kepincangan yang terwujud. Kerana kepincangan yang wujud itu membuat aku hilang yakin untuk berbicara tentang apa yang aku yakini.
Aku tidak mahu menjadi orang yang tertewas, dan malu di hadapan Tuhanku. Maka dengan segala kudrat yang aku miliki, aku akan berusaha sepenuh daya untuk melepasi segala tembok rasa yang terbina teguh di dalam hati.
Semoga DIA memberiku masa untuk mengatur kembali segala kecelaruan ini...Dan aku amat berharap agar dapat kembali merasai jerih perih perjuangan di jalan yang aku cintai...
July 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment