Pernahkah kita terfikir, betapa kita ini lebih percaya pada janji manusia? Kita begitu mengharap agar janji2 itu dipenuhi, dan adakalanya kita terlalu yakin janji itu akan terpateri. Mengapakah kita tidak meletakkan pergantungan sebegitu kepada Rabbul Izzati? Rabb yang tidak pernah sesekali memungkiri janji. Rabb yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sayangnya, kita lebih percaya pada janji manusia...
Inilah salah satu punca manusia selalu terkecewa dan merana dalam hidup. Kita meletakkan seluruh pengharapan pada yang bukan hak. Kita memberi hati dan cinta pada makhluk sebelum kita mencintai-Nya. Bila ditimpa masalah dan musibah, kita mula mencari-cari tempat melepas rasa, kita mencari orang lain sebelum kita mengadu pada-Nya. Kita bergantung harap pada sahabat mahupun kekasih, dan meletakkan Dia di kedudukan yang terkebelakang. Dan akhirnya apabila apa yang kita harapkan, cintakan, dambakan, insan2 yang dikasihi meninggalkan kita, hati pun merana dan hilang arah. Hidup ini seolah tiada makna. Rasa keseorangan terus-terusan menghantui. Bahkan tangisan seakan tidak mahu berhenti. Adilkah kehidupan ini? Itulah persoalan yang mula timbul. Lantaran itu, ramai antara kita yang mengambil jalan pintas, demi mengakhiri penderitaan hati. Hakikatnya, azab yang maha dahsyat menanti..
"Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya"
Ini firman Allah dalam surah Ali-Imran. Maka aku mahu menyeru hatiku dan hati kalian, letakkanlah segala pengharapan dan kepercayaan HANYA pada Allah semata. Dengan itu kalian tidak akan pernah kecewa. Cukuplah sudah kita ini terkecewa kerana percaya pada janji manusia. Cukuplah.
No comments:
Post a Comment