Early marriage=kahwin awal
Program dikendalikan dalam bahasa Melayu. Cukup menarik, walaupun agak banyak masalah teknikal yang berlaku. Itu perkara biasa dalam sesuatu program.
Elokkah berkahwin awal? Tepuk dada tanya iman..
Sudah bersediakah mahu memikul tanggungjawab sebagai suami/isteri?
Bagaimana pula dengan persiapan kewangan?
Emosi?
Cukup beranikah untuk berhadapan dengan segala risiko?
Restu keluarga?
Inilah persoalan2 yang perlu diambil kira andai terlintas di hati hendak berkahwin di usia muda. Ramai pasangan yang berjaya dan hidup bahagia, namun ada juga yang kecundang. Kegagalan rumahtangga selalunya berpunca dari ketidaksefahaman antara suami dan isteri. Oleh itu, jangan terburu-buru dalam membuat keputusan untuk berkahwin. Selidiki dulu latar belakangnya, sikapnya dan bagaimana komitmen si dia dalam melakukan sesuatu. Selidiki hal2 ini melalui orang2 yang boleh dipercayai. Juga fahami bidang kerjanya andai dia sudah berkerjaya. Andai suami seorang jurutera dan isteri seorang doktor, cuba fahami beban tugas masing2. Banyak krisis yang berlaku akibat dari hal sebegini. Tugas seorang doktor contohnya, mempunyai beban yang berat sekali. Balik sehingga lewat malam, jika ada on call berlanjutanlah hingga keesokan harinya. Suami yang tidak memahami kerjaya ini pasti akan naik marah. Mana tidaknya, tinggal berseorangan dan terpaksa mengurus diri sendiri. Andai sudah mempunyai anak, suamilah yang berperanan untuk mengurus anak sehingga dalam urusan untuk menukar lampin anak di tengah malam. Si isteri pula kepenatan. Akhirnya suami naik bosan. Bagaimana hendak menangani masalah ini? Adakah doktor harus berkahwin dengan doktor sahaja? Pokok pangkalnya kesefahaman. Dan yang paling utama adalah perancangan dan tawakkal kepada Allah. Rancanglah kehidupan ini dengan baik dan berdoalah, semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita. Semoga perkahwinan yang hendak dibina mendapat barakah daripada Allah swt.
Saya kagum sekali dengan seorang panel yang juga merupakan bekas pelajar UIA. Beliau adalah Dr. Syed Abdul Khaliq b. Syed Abdul Hamid. Beliau seorang yang sangat berwibawa. Bayangkan, beliau menyiapkan kertas kerja untuk berkahwin dengan bakal isterinya dan kertas kerja itu diserahkan kepada bakal bapa mertuanya. Beliau juga menyiapkan penyata kewangan, yang mencatatkan pendapatan dan sara hidup mereka selepas berkahwin. Untuk makluman, beliau berkahwin semasa sedang menuntut dalam tahun dua jurusan perubatan. Inilah pertama kali saya mendengar kertas kerja untuk berkahwin. Kagum sekali. Kesungguhan beliau dan perancangan yang teliti tentu sahaja menambat hati bakal mertuanya. Dan sekarang, beliau telah pun menjadi seorang doktor di hospital muadzam shah dan sudah mempunyai cahaya mata. Selain cemerlang dalam akademik, beliau juga aktif dalam gerakan dakwah dan persatuan. Setiap wanita tentu sahaja ingin mendapat seorang suami seperti beliau.
Terlalu panjang bercakap soal ini. Sudah bersediakah saya?
Rasanya belum lagi. Tidak mampu lagi untuk menggalas tanggungjawab sebesar itu. Tambahan pula, keluarga sudah tentu tidak mengizinkan. Walaupun saya anak bongsu, tapi anak bongsu inilah harapan ayahbonda. Tidak tega untuk membuat mereka bersedih.
Andai sampai masanya, saya mengharapkan seseorang yang boleh melengkapi segala kekurangan saya. Seseorang yang dapat menambahkan kecintaan hati pada Ilahi. Seseorang yang boleh diletakkan kepercayaan dan harapan. Seseorang yang boleh dijadikan sahabat. Seseorang yang dapat membimbing diri untuk sama2 ke syurga...
Wah, cukuplah setakat ini. Maafkan saya atas kejiwangan yang tidak disangka-sangka. Entri selepas ini akan bersifat neutral semula.
Akhir kata, percayalah, cinta Allah tidak pernah mengecewakan. Ia tidak bertepi dan tidak bersempadan. Selalu bersamamu di kala susah dan senang, senyum dan tawa, duka dan bahagia. Berusahalah untuk mencintai-Nya sebelum mencintai yang selain-Nya~
March 1, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment